KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang kerjasama antara gabungan tersebut dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya PH.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, jawatankuasa berkenaan akan melibatkan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya PH dan Ketua Setiausaha yang juga memangku Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Itu memang Jawatankuasa Pilihan Raya akan bincang. Kita ada Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan terlibat,” katanya ketika merasmikan Tiktok Summit Malaysia 2026 hari ini.
Sebelum ini, Saifuddin berkata, PH terbuka untuk berbincang mengenai kemungkinan kerjasama PH-BN dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Saifuddin berkata, beliau dan Ab Rauf merupakan sahabat lama dan sentiasa berhubung, selain memaklumkan akan bertemu Ketua Menteri Melaka itu selepas kepulangannya daripada lawatan rasmi ke New Zealand. – MalaysiaGazette
















