KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berikrar untuk memperkukuh langkah keselamatan di sekolah selepas beberapa kejadian tragis melibatkan pelajar sejak kebelakangan ini, termasuk insiden pembunuhan di Petaling Jaya baru-baru ini.
Beliau menegaskan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan di semua institusi pendidikan bagi memastikan insiden seumpamanya tidak berulang.
“Saya dan timbalan saya (Wong Kah Woh) akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden ini. Kami akan lakukan yang lebih baik selepas ini. Kita akan terus menambah baik langkah keselamatan dan memperkukuh budaya keprihatinan di sekolah.
“Reformasi ini akan dilaksanakan secara bersama dengan sokongan guru, ibu bapa dan komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada 14 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, Yap Shing Xuen, maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam itu.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, beliau amat sedih dengan kejadian yang disifatkannya sebagai satu tragedi besar dan menyentuh hati warga pendidik di seluruh negara.
“Hanya Tuhan yang tahu betapa dalamnya kesakitan ini. Duka menerima satu lagi berita kematian anak murid yang dikasihi. Hati saya luluh melihat para guru dalam keadaan lara dan gundah menangisi tragedi ini.
“Bertabahlah guru sekalian! Ujian ini akan kita lalui bersama. Ketika jiwa kita runtuh berderai, kita harus kutip segera kepingan yang ada untuk dicantumkan menjadi sakti kembali,” katanya.
Fadhlina turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan guru yang terus menjalankan amanah mendidik walaupun berdepan ujian berat, sambil memberi jaminan KPM akan sentiasa berdiri teguh bersama mereka.
“Sabar, kuat semangat dan teruskan mandat pendidikan kita,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas kerjasama dan keprihatinan yang diberikan dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan warga sekolah terus terpelihara.
“Sokongan dan keprihatinan ibu bapa amat penting dalam usaha kita membina semula kekuatan dan roh institusi pendidikan. Penghargaan tertinggi juga saya tujukan kepada Yang Dipertua PIBG dan seluruh pasukan atas bantuan intervensi psikososial serta sokongan diberikan dalam tempoh mencabar ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















