KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di Klang meninggal dunia selepas dua hari mengalami gejala demam, batuk dan cirit-birit, kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Dalam satu kenyataan hari ini, JKNS memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa mula bergejala pada 14 Oktober 2025 sebelum keadaannya semakin lemah dan akhirnya tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Oktober lalu.
“Keadaan pesakit dilaporkan semakin lemah sebelum beliau tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Oktober lalu. Pesakit telah dibawa ke sebuah klinik swasta berhampiran dalam keadaan tidak bernafas dan tiada tanda vital,” menurut kenyataan itu.
Menurut JKNS, pasukan perubatan di klinik tersebut segera memulakan bantuan kecemasan (CPR) dan menghubungi ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
“Pesakit dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba. Ujian saringan influenza yang dijalankan oleh klinik swasta atas permintaan keluarga menunjukkan keputusan positif Influenza,” jelas JKNS.
Bagaimanapun, jabatan itu menjelaskan, tiada bedah siasat dijalankan kerana tiada arahan dikeluarkan oleh pihak polis.
Katanya, penentuan punca kematian memerlukan penilaian menyeluruh termasuk sejarah klinikal dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Mortaliti.
JKNS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham sambil mengingatkan kebanyakan pesakit influenza akan pulih dalam tempoh seminggu namun golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik lebih mudah mengalami komplikasi teruk.
“Komplikasi seperti pneumonia atau radang otak (encephalopathy) boleh mengakibatkan kesakitan serius atau kematian. Oleh itu, rawatan awal amat penting bagi mengelak komplikasi serius,” katanya.
JKNS turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan etika batuk yang betul, menjaga kebersihan tangan, mengelak tempat sesak jika bergejala dan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan.
“Buat masa ini, kadar jangkitan influenza di Selangor menunjukkan peningkatan berbanding minggu-minggu sebelumnya. Namun situasi ini sejajar dengan trend nasional yang turut menunjukkan peningkatan kes,” tambah kenyataan itu.
Pihak JKNS memberi jaminan akan terus memperkukuh pemantauan dan kesiapsiagaan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berkaitan kes ini.
“Orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak sebarang kekeliruan,” tegas JKNS.
Semalam, seorang murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Jalan Tap di sini meninggal dunia pagi semalam akibat jangkitan Influenza A.
Mangsa, Muhammad Syeikhu Azrin, 8, disahkan meninggal dunia pukul 4.30 pagi.
Pihak sekolah turut memaklumkan berita pemergian murid terbabit dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan supaya rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – MalaysiaGazette
















