KUALA LUMPUR – Sebanyak 100 belon berwarna biru yang menjadi warna kegemaran Yap Shing Xuen, 16, dilepaskan ke udara mengiringi perpisahan terakhir buat mendiang yang mati ditikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selasa lalu.
Sejak jam 8 pagi tadi, suasana di sekitar Nirvana Center Kuala Lumpur kelihatan muram apabila lebih 200 individu melibatkan keluarga, saudara mara, guru, dan rakan sekolah hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
Di dewan itu, para hadirin ditunjukkan tayangan montaj memaparkan perjalanan hidup Shing Xuan.

Pada sesi penghormatan terakhir itu, kakak mendiang Shing Xuan yang memakai baju-T putih berjaket hitam kelhatan cukup sugul ketika menzahirkan ucapan bahawa mereka sekeluarga akan sentiasa merindui adik bongsunya.
Kemudian, keranda Shing Xuan yang berwarna putih itu dibawa keluar kira-kira jam 11.21 pagi menuju ke Nirvana Crematorium, Shah Alam untuk proses upacara pembakaran.
Suasana bertambah pilu apabila ahli keluarga terutama kakaknya yang memegang plat nama Shing Xuan tidak dapat menahan kesedihan ketika mengiringi keranda mendiang sambil melepaskan belon.

Situasi itu menyebabkan majoriti orang ramai yang hadir turut menangis, berkongsi kesedihan yang dialami oleh keluarga mendiang.
Sejak Khamis lalu, ahli keluarga, guru, dan rakan sekolah hadir memberi penghormatan terakhir kepada remaja berkenaan yang disifatkan sebagai pelajar aktif, cemerlang dan berdisiplin.
Keluarga mendiang turut berkongsi kesedihan mereka dengan ucapan ringkas di media sosial, dengan menyatakan rasa rindu dan kasih yang tidak akan padam terhadap Shing Xuan.

Shing Xuan meninggal dunia selepas ditikam oleh seorang pelajar lelaki di tandas sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi.
Polis merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian dan siasatan masih berjalan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















