KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pasukan elit agensi itu melakukan serangan di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menegaskan, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas tetapi satu fitnah berniat jahat terhadap agensi tersebut.
Malah, katanya, dakwaan tersebut juga berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.
“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi.
“Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal hari ini, Takiyuddin membangkitkan kebimbangan berhubung latihan oleh Maritim Malaysia di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu didakwa sebagai mengulangi peristiwa Memali 1985.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan, dengan mendakwa mereka adalah polis.
Takiyuddin berkata, tindakan itu bukan sahaja menimbulkan ketakutan malah mencetuskan keresahan dalam kalangan jemaah.
Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata, latihan yang dimaksudkan Takiyuddin ialah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).
Jelasnya, latihan tersebut penting bagi membentuk daya tahan, disiplin dan kebijaksanaan anggota ketika berinteraksi dengan masyarakat semasa melaksanakan misi penyamaran.
“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.
“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana didakwa, sebaliknya para pelatih hanya menunaikan ibadah di dalam masjid tersebut.
Ujar beliau, elemen keagamaan turut diterapkan sebagai asas pegangan dalam membentuk jati diri dan integriti anggota penguat kuasa serta operator pasukan khas.
Mohd Rosli menambah, laporan polis yang dibuat telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.
“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.
Beliau juga berkata, aktiviti latihan tersebut dijalankan di bawah kawalan jurulatih kanan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) agensi yang ketat. — MalaysiaGazette
















