KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini tertumpu kepada acara bersejarah iaitu pemeteraian Perjanjian Damai Thailand–Kemboja yang bakal disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di sini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, acara menandatangani perjanjian yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) melambangkan keupayaan ASEAN menyelesaikan pertikaian secara aman dan konstruktif.
Tambahnya, perjanjian itu turut memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemudah cara utama keamanan di Asia Tenggara.
“Majlis ini melambangkan kejayaan diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman dan konstruktif, sekaligus memperkukuhkan kepercayaan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan serantau,” katanya dalam sesi taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.

Menurut Tunku Nashrul lagi, kejayaan diplomasi ini memberi signal jelas bahawa ASEAN berada di landasan tepat untuk menjadi blok serantau yang stabil, dihormati serta berwibawa di persada dunia.
Kejayaan tersebut hadir pada tahun Malaysia mempengerusikan ASEAN di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang menunjukkan kepimpinan negara bukan sekadar mengemudi agenda ekonomi dan integrasi serantau, tetapi juga memastikan aspek keselamatan dan kestabilan terus terpelihara.
Sidang kemuncak hari ini turut menghimpunkan pemimpin ASEAN dan tetamu Pengerusi termasuk Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Kesatuan Eropah dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik lebih luas serta mengangkat suara Asia Tenggara di pentas global.
Mengikut jadual, Perdana Menteri akan menerima ketibaan Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN serta Timor-Leste pagi ini, sebelum menyampaikan ucapan dasar yang menggariskan aspirasi Malaysia membina rantau yang lebih inklusif dan mampan untuk semua.
Kemudian, majlis akan diteruskan dengan Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di mana Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan dasar yang akan menggariskan aspirasi Malaysia untuk melakar kesatuan ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.
Dalam sesi pembukaan, para pemimpin akan menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN, mengiktiraf negara itu sebagai ahli ke-11, yang merupakan satu lagi detik bersejarah di bawah kepengerusian Malaysia dalam melengkapkan Komuniti ASEAN sebagai sebuah keluarga serantau yang bersatu.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul turut memaklumkan Anwar akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 melibatkan Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman dengan tumpuan terhadap integrasi ekonomi, hubungan luar serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara berhubung Myanmar selain pertukaran pandangan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Katanya, komitmen Malaysia terhadap diplomasi damai hari ini mengukuhkan keyakinan dunia bahawa ASEAN merupakan blok yang matang, bersatu dan relevan, manakala Malaysia kekal sebagai peneraju utama kestabilan Asia Tenggara, berpaksikan kepimpinan berprinsip dan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, kehadiran Presiden Trump bakal memberikan ruang penting untuk ASEAN menyampaikan pendirian bersama mengenai isu-isu serantau dan global, termasuk keamanan, perdagangan, tenaga, situasi di Asia Pasifik dan juga Gaza. – MalaysiaGazette
















