HANNAH Yeoh pada sesi pertemuan dengan pihak pengendali platform permainan online Roblox baru-baru ini. - Foto: FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Platform permainan online, Roblox memberi jaminan untuk mempertingkatkan keselamatan melalui penggunaan teknologi kecerdasana buatan (AI) dan pemantauan manusia.

Dalam masa sama, platform itu juga bersedia bekerjasama dengan kerajaan terutama melibatan perkongsian data dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang membangkitkan kebimbangan beliau terhadap faktor keselamatan permainan online tersebut dalam pertemuan dengan pihak Roblox baru-baru ini.

Menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini, Hannah berkata, sebagai menteri dan juga seorang ibu, beliau bimbang melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak.

Jelasnya, platform seperti Roblox kini mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta di Malaysia.

“Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan. Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaporkan sedang meneliti mekanisme kawal selia baharu bagi memastikan permainan dalam talian dan aplikasi media sosial lebih selamat, terutama kepada pengguna bawah umur.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia susulan kebimbangan yang emakin meningkat terhadap keselamatan penggunaan kanak-kanak termasuk dalam kes terkini yang membabitkan permainan di aplikasi Roblox.

Fahmi merujuk kepada kejadian di Kampung Parit Nipah Laut di Batu Pahat, Johor apabila seorang budak lelaki enam tahun parah dikelar dan ditikam, dipercayai oleh abangnya yang berusia sembilan tahun.

Siasatan awal mendapati, suspek bertindak demikian selepas berang permainan Roblox miliknya terganggu dan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul selepas telefon bimbitnya rosak. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast