GEORGE TOWN – Seratus hari pertama pentadbiran Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail menyaksikan reformasi dalam hala tuju pengurusan kontinjen itu dengan fokus kepada disiplin dalaman, ketelusan pentadbiran serta keberkesanan operasi keselamatan negeri.

Walaupun tempoh itu dianggap singkat oleh umum, namun pendekatan kerja yang lebih tersusun dan tegas beliau terhadap integriti dilihat berjaya mewujudkan budaya pasukan yang lebih berdaya saing.

Selain itu, penekanan terhadap kebajikan anggota dan standard profesionalisme turut menjadi antara faktor pengukuhan keyakinan awam terhadap PDRM di negeri ini.

Mengulas pencapaian 100 harinya, Azizee berkata, amanah memimpin kontinjen sejak 11 Ogos lalu membawa tanggungjawab besar dalam memastikan PDRM kekal menjadi institusi dipercayai rakyat.

“Tanggal 11 Ogos 2025 merupakan tarikh pelantikan saya sebagai Ketua Polis Pulau Pinang dan hari ini menandakan hari ke-100 pentadbiran saya di Kontinjen Pulau Pinang.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja atas kerjasama, maklum balas dan komitmen yang telah diberikan,” katanya.

Beliau menambah bahawa kekuatan pasukan hanya dapat dibina melalui integriti, kesiapsiagaan dan tindakan pantas ketika berdepan cabaran keselamatan.

“Menjadi aspirasi saya sebagai peneraju utama PDRM Kontinjen Pulau Pinang untuk terus bekerja bersama tuan-tuan dan puan-puan secara berintegriti, profesional, pantas dan sentiasa bersiap siaga dalam memastikan PDRM Kontinjen Pulau Pinang terus kekal diyakini masyarakat.

“Rumah kita, kita bersihkan, kepada Tuhan kita berserah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast