KUALA LUMPUR — Istiadat Pertukaran Pengawal di Istana Negara berlangsung, di sini, pagi tadi dengan pelaksanaan penuh protokol ketenteraan di Dataran Pintu Masuk Utama, Jalan Tuanku Abdul Halim.
Acara ini melibatkan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Skuadron Istiadat Berkuda, dengan iringan Pancaragam Pusat RAMD serta 25 anggota Brass Band 1 RAMD.
Upacara dimulakan dengan pergerakan keluar pasukan pengawal lama pada 8.30 pagi sebelum pasukan baharu mengambil kedudukan.
Alunan muzik dari Pancaragam Pusat RAMD pula menambah sentuhan dramatik yang membuatkan suasana pagi terasa seperti sebuah persembahan terbuka.

Secara keseluruhan, sembilan pegawai dan 164 anggota lain-lain pangkat menyertai istiadat yang menjadi sebahagian daripada rutin kawalan keselamatan Istana Negara.
Namun bukan hanya kemegahan uniform dan kawad menjadi tumpuan, kehadiran ratusan pengunjung dan pelancong yan memenuhi dataran sejak jam 7 pagi mencuri perhatian.

Ada yang datang kerana minat terhadap protokol diraja, ada yang hanya mahu merakam kenangan tetapi semuanya berkongsi keterujaan melihat tradisi yang berlangsung di depan mata.
Sejarah istiadat ini panjang dan penuh simbol, sejak 1959, diperkenankan untuk tontonan awam pada 1994 dan pada 2012 berpindah ke Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim.
Detik paling berbekas tiba pada 2015 apabila Skuadron Istiadat Berkuda menyertai buat pertama kali, melengkapkan imej istiadat sebagai antara acara paling berprestij di Malaysia.

Bagi istiadat hari ini, hormat tabik dipimpin oleh Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali serta Pegawai Memerintah Skuadron Istiadat Berkuda, Leftenan Kolonel Shahrul Azudin Maulod, dua figura penting yang memastikan kelancaran dan ketepatan setiap pergerakan.
Selain memastikan kesinambungan tugas pengawal istana, upacara ini turut memaparkan disiplin serta identiti ketenteraan negara, di samping menjadi tarikan kepada pelawat sama seperti istiadat pertukaran pengawal di beberapa negara lain.
Turut hadir menyaksikan istiadat ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal; serta Panglima 12 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Fauzi Abu Bakar. -MalaysiaGazette
















