KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) menyeru dan menggesa rakyat Sabah membuat pilihan yang jelas berdasarkan rekod perkhidmatan dan bukannya janji kosong.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, waktu akhir kempen ini adalah tempoh yang kritikal dan memohon pengundi tidak membuat kesilapan dalam menentukan hala tuju negeri.
“Sebagai Ketua BN Sabah dan calon N.58 Lamag, saya menyeru agar rakyat menunaikan tanggungjawab, menyuarakan suara, dan mengundi calon BN untuk pembangunan, kestabilan dan masa depan yang lebih cerah untuk Sabah.
“Marilah kita mengekalkan persekitaran yang tenang, matang dan hormat-menghormati.
“Satu perkara yang pasti BN berdiri teguh iaitu kami bekerja tanpa jemu, dan BN sentiasa untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, gesaan terakhir BN adala sebagai mengukuhkan sokongan pengundi atas pagar dan penyokong menjelang hari mengundi pada esok, 29 November.
Bung turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera, sukarelawan dan penyokong BN yang telah bertungkus-lumus membawa mesej pembangunan dan kesejahteraan masyarakat ke seluruh pelusuk negeri.
“Sepanjang lawatan kami ke komuniti di seluruh Lamag, Kinabatangan dan Sabah, adalah jelas rakyat Sabah mahukan kepimpinan yang mempunyai rekod yang terbukti, bertindak tegas, dan bekerja tanpa henti untuk rakyat,” ujarnya.
Bung turut menegaskan, rakyat Sabah hari ini telah melihat siapa yang hanya bercakap dan siapa yang benar-benar memberikan hasil.
PRN Sabah ke-17 mencatat sejarah baharu apabila seramai 596 calon termasuk 74 calon bebas hingga menyaksikan ada kawasan yang mengalami pertembungan 14 penjuru.
Semua ini adalah untuk menentukan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri menjadi milik mereka.
Sepanjang 14 hari berkempen, semua parti dan jentera menggunakan semua elemen termasuk kepakaran memujuk, merayu hingga tidak kurang ‘menjual’ manifesto untuk mendapatkan sokongan pengundi. – MalaysiaGazzete
















