Logo Jabatan Pendaftaran Negara.

KUALA LUMPUR – Klip berita di media sosial yang didakwa merujuk kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berhubung isu pemilikan dua kerakyatan telah ditafsirkan di luar konteks sebenar.

JPN dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, kenyataan itu yang pada asalnya diterbitkan sebagai artikel berita adalah merujuk kepada pendekatan semasa dalam menangani isu pemilikan dua kerakyatan yang sememangnya telah lama diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan.

Sehubungan itu, ujarnya, individu (warganegara Malaysia) yang memiliki kerakyatan asing boleh membuat pelepasan kewarganegaraan secara sukarela berbanding diambil tindakan pelucutan kewarganegaraannya di bawah Perkara 24, 25 atau 26 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam konteks ini, JPN berperanan sebagai agensi pelaksana yang menjalankan semakan dan penelitian termasuk pengesahan dokumen dan penyediaan syor berdasarkan fakta kes, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sebarang keputusan muktamad berkaitan pelucutan status kewarganegaraan adalah tertakluk kepada kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Dalam Negeri, sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang berkaitan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan JPN mempertimbang cadangan supaya individu yang mempunyai dua kerakyatan tampil secara sukarela menyerahkan dokumen pengenalan berkaitan.

Bagaimanapun, Badrul Hisham dipetik berkata, pihaknya belum mempunyai maklumat berhubung mereka yang memiliki dua kerakyatan termasuk penduduk di kawasan sempadan.

Sementara itu, tambah kenyataan tersebut, kenyataan JPN “mempertimbang syor” tidak bermaksud wujud perubahan dasar atau pelaksanaan automatik terhadap mana-mana individu.

Sebaliknya, katanya, ia merujuk kepada opsyen terhadap pelucutan kewarganegaraan yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan pengurusan kewarganegaraan dilaksanakan secara berhemah, adil dan berlandaskan undang-undang.

“JPN ingin menegaskan bahawa tiada tindakan sewenang-wenangnya diambil, dan setiap kes akan dinilai secara terperinci berdasarkan fakta, peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Dalam masa sama, tambahnya, JPN turut menyeru agar sebarang pelaporan atau perkongsian oleh portal atau pihak ketiga hendaklah dibuat secara tepat dan bertanggungjawab, selaras dengan konteks sebenar kenyataan rasmi, bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast