ADUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah

KLUANG – Tuduhan kerajaan Johor mengamalkan budaya cash is king melalui pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) adalah simplistik dan tidak adil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, dakwaan tersebut yang dibuat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor juga gagal memahami kerangka sebenar dasar kebajikan kerajaan negeri.

“Pertama, BKJ bukan dasar populis kosong sebaliknya ia adalah bantuan bersasar kepada golongan benar-benar memerlukan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Kerajaan negeri tidak pernah menjadikan bantuan tunai sebagai satu-satunya solusi, tetapi sebagai intervensi segera bagi meringankan beban rakyat sementara pelbagai agenda pemerkasaan ekonomi dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman dilaporkan mendesak kerajaan negeri menghentikan budaya cash is king yang telah lama dijadikan pendekatan populis dan alat memancing sokongan politik.

Menurut Suraya, bantuan tunai yang berulang tanpa pelan jangka panjang hanya akan mewujudkan kebergantungan bukan memperkasakan rakyat contohnya BKJ.

“Lebihan fiskal negeri seharusnya digunakan secara strategik untuk mengurangkan hutang negeri, membangunkan infrastruktur berkualiti, menarik pelaburan bernilai tinggi, membuka peluang pekerjaan berpendapatan mampan serta memperkukuh sokongan kepada usahawan kecil dan sektor produktif.

“Sekiranya kewangan negeri berada pada tahap yang kukuh dan stabil, kerajaan juga wajar mempertimbangkan pengurangan cukai atau pemberian diskaun cukai secara berkala,” ujar Suraya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Syed Hussien berkata, dakwaan bantuan tunai mewujudkan kebergantungan adalah naratif klise pembangkang yang gagal menawarkan penyelesaian realistik.

Hakikatnya ujar beliau, rakyat tidak meminta untuk bergantung, mereka meminta kerajaan hadir ketika mereka terhimpit.

Tegasnya, adalah tidak bertanggungjawab untuk bercakap soal teori jangka panjang tanpa mengambil kira realiti semasa kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

Kerajaan negeri tidak mengabaikan pengurusan fiskal seperti yang didakwa. Lebihan fiskal negeri telah dan sedang digunakan secara berimbang.

Jelasnya, ia merangkumi pembangunan infrastruktur strategik, penjanaan pelaburan berkualiti, pembukaan peluang pekerjaan, sokongan kepada usahawan kecil dan belia serta agenda perumahan dan kebajikan rakyat.

BKJ hanya satu komponen kecil dalam ekosistem dasar ekonomi Johor yang lebih besar dan menyeluruh, katanya.

Ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Pejuang Johor seharusnya menjelaskan kepada rakyat apakah alternatif konkrit yang mereka tawarkan.

Mengkritik bantuan kebajikan tanpa cadangan yang realistik hanya retorik politik yang kosong dan tidak menyelesaikan masalah rakyat.

“Sebagai wakil rakyat kerajaan negeri, saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor memilih pendekatan seimbang, membantu rakyat yang memerlukan hari ini, sambil membina asas ekonomi yang mampan untuk masa depan.

“Ini bukan soal cash is king, tetapi soal tanggungjawab, keprihatinan dan keadilan sosial. Kerajaan Negeri Johor akan terus mempertahankan dasar yang berpaksikan rakyat bukan terperangkap dalam polemik politik yang terpisah daripada realiti sebenar di lapangan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast