Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan bercakap pada sidang media selepas selesai majlis Prapeluncuran Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 Februari 2026.

PUTRAJAYA – Inisiatif Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan bertujuan mengiktiraf peranan rumah ibadat sebagai sumber pengetahuan, pusat kerohanian dan institusi sosial yang inklusif untuk menyatukan serta memperkukuhkan keharmonian.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufik Johari berkata, inisiatif itu dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Agama untuk memperkukuh agenda pembangunan belia yang holistik dan berteraskan nilai Malaysia Madani.

“Pendekatan ini sebagai menyahut hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan masjid sebagai pusat transformasi belia yang lebih dinamik.

“Pelaksanaan inisiatif ini digerakkan menerusi Jawatankuasa Bersama KBS dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) ditubuhkan di peringkat masjid dan surau.

“Ia bertanggungjawab menyelaras aktiviti dan program bersesuaian bagi memakmurkan masjid, di samping melahirkan insan seimbang daripada aspek sahsiah, rohani, intelektual dan sosial,” katanya pada sidang media di Menara KBS, di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan ketika majlis Prapeluncuran Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 Februari 2026.

Terdahulu beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyempurnakan Majlis Pra Peluncuran Rakan Masjid x Rakan Ramadan.

Program Rakan Muda Ramadan akan dilaksanakan di 15 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan 113 daerah di seluruh negara.

Seramai 400 peserta kecuali di Perlis dan Labuan (300 peserta) menjadikan jumlah penyertaan di peringkat negeri seramai 5,800 peserta terlibat dalam program tersebut.

Manakala 130 orang peserta dijangka menyertai program Rakan Muda Ramadan di peringkat daerah menjadikan jumlah penyertaan di peringkat daerah seramai 14,690 orang.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan menganjurkan Iftar MADANI bersama Perdana Menteri pada 22 Februari ini sebagai acara kemuncak inisiatif itu.

“Iftar MADANI bersama Perdana Menteri pada 22 Februari 2026 bakal menghimpunkan kira-kira 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan belia,” katanya.

Katanya lagi, keunikan sambutan Rakan Muda Ramadan kali ini ialah kepelbagaian kaum daripada pelbagai latar belakang turut mengimarahkan majlis peluncuran dan bersama-sama berbuka puasa.

“Ini penting supaya pembangunan rohani dan jati diri dalam pembangunan belia negara dapat dilaksanakan secara inklusif dan holistik oleh belia pelbagai agama dan latar belakang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast