KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan dalam lawatan kerjanya ke utara hari ini untuk menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menyifatkan Hashim sebagai sahabat lama, Anwar melahirkan rasa syukur dengan keadaan kesihatan Hashim yang baik, selain sempat berbicara panjang dengan tokoh ulama Pas berkenaan.
“Saya turut menyampaikan salam Azizah (isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kepada beliau dan keluarga, serta mendoakan afiyah dan kesembuhan segera buat Ustaz Hashim,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, di hospital sama, beliau turut menziarahi seorang jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang terlibat dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Jelas Perdana Menteri, beliau menghargai pengorbanan petugas kesihatan yang begitu besar jasanya dalam menjaga dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Sebelum beredar, saya mendapatkan perkembangan projek naik taraf kemudahan di Hospital Pulau Pinang agar usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan terus berjalan lancar demi manfaat rakyat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Hashim dipindahkan ke HPP bagi menjalani rawatan lanjut selepas menerima rawatan akibat masalah kesihatannya di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis kira-kira dua minggu lalu.
Menurut anak perempuannya yang dikenali sebagai Husna, secara keseluruhan tahap kesihatan bapanya itu kini menunjukkan perkembangan baik terutamanya membabitkan fungsi jantung dan buah pinggang. – MalaysiaGazette
















