Pemilik anjing bernama Rocky, S Roghini Devi ketika keluar dari perkarangan mahkamah selepas mengaku tidak bersalah berikutan dakwaan menyakiti seekor anjing jantan sehingga menyebabkan kesakitan di Mahkamah Sesyen Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memelihara seekor anjing tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tertuduh, S. Roghini Devi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Karthiyayini Ambualagan.

Mengikut pertuduhan, Roghini, 42, didapati memelihara seekor anjing melebihi umur tiga bulan tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Majis Perbandaran Klang (MPK).

Kesalahan itu dilakukan di hadapan kediamannya di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang di sini kira-kira pukul 10.50 malam pada 29 Julai 2026.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007.

Undang-undang kecil itu memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

BACA: Utama Kes Rocky: Shah mengaku tidak bersalah

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan.

Bagaimanapun, peguam, Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan seredah RM500 dengan seorang penjamin susulan anak guamnya baru sahaja dituduh di Mahkamah Sesyen dengan jaminan RM6,000.

Jeremy berkata, ia perlu mengambil kira faktor anak guamnya yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai empat anak masih kecil selain suaminya dan ibu mentuanya berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Majistret Karthiyayini bagaimanapun membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Oktober 2026 sebagai tarikh sebutan kes untuk penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette 

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemilik anjing Rocky didakwa di Mahkamah Sesyen Klang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here