Sebahagian dadah yang dirampas dipamerkan pada sidang media kejayaan Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM180.8 juta di PULAPOL Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 Mac 2026.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan ditahan dan direman selama 14 hari selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bernilai kira-kira RM170 juta susulan dua serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada 2 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua suspek berusia antara 38 hingga 44 tahun dicekup di sebuah rumah teres di Taman Gembira di sini ketika mereka sedang memunggah guni putih dari dalam rumah ke sebuah lori Mitsubishi berwarna putih.

“Hasil pemeriksaan di dalam lori dan rumah berkenaan menemukan 128 guni putih mengandungi 3,205 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 3,320.69 kilogram, selain empat paket plastik lutsinar berisi pil ekstasi seberat 1.4 kilogram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan rampasan dadah pada sidang media mengenai kejayaan Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa bernilai RM180.8 juta di PULAPOL Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 Mac 2026.

“Susulan tangkapan itu, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah lagi rumah teres di sekitar Taman Overseas Union Garden, Jalan Klang Lama dan merampas tiga guni putih serta sebuah beg kuning mengandungi 79 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 81.4 kilogram,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Menurut Hussein, secara keseluruhan, sebanyak 3,284 bungkusan methamphetamine dengan berat 3,402.18 kilogram dirampas dalam operasi berkenaan.

Siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai pengangkut (transporter) manakala suspek kedua merupakan ahli sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember 2025.

Gambar wajah individu yang ditahan bagi membantu siasatan dipamerkan pada sidang media kejayaan Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM180.8 juta di PULAPOL Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 Mac 2026.

Tambah beliau, sindiket itu dipercayai menyewa lori bagi membawa bekalan dadah dari utara Semenanjung ke sekitar Lembah Klang sebelum disimpan di rumah sewaan dan seterusnya dipasarkan ke pasaran luar negara.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo. Jumlah dadah yang dirampas dipercayai mampu memberi kesan kepada kira-kira 17 juta penagih,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Jelas beliau, kedua-dua suspek direman bermula 3 Mac hingga 16 Mac 2026 bagi membantu siasatan manakala semakan mendapati suspek kedua mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk 12 kes berkaitan dadah dan dua kes jenayah lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast