KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai menampar seorang pelanggan hingga hidung berdarah dan terjatuh dalam kejadian di premis Rotiboy, Stesen LRT Pasar Seni di sini pada 24 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek yang dikenali Muhammad Sivakumar Perumal, 47, diberkas kira-kira pukul 3.40 petang hari ini di tepi Jalan Masjid India.
Menurut beliau, dalam pada Selasa lalu, mangsa sedang membeli roti sebelum secara tiba-tiba ditampar di bahagian muka oleh suspek yang tidak dikenali sehingga menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di hidung dan terjatuh.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham berkaitan giliran beratur apabila suspek mendakwa mangsa telah memotong barisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, mangsa memaklumkan ketika kejadian tiada pelanggan lain di premis berkenaan dan suspek juga baru tiba di lokasi tersebut.
Tambah Sazalee, hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengaku bertindak demikian kerana berasa marah selepas mendakwa mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh di sebelahnya ketika menunggu giliran.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah namun semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes narkotik,” jelasnya.
Polis turut merampas sehelai baju kemeja putih dan seluar panjang hitam milik suspek bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada esok bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















