JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim supaya Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Pendidikan meletak jawatan berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai pandangan peribadinya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menjelaskan, isu pengiktirafan UEC bukan perkara baharu kerana kerajaan terdahulu juga pernah mengiktiraf sijil berkenaan dengan syarat tertentu termasuk memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Perkara ini juga pernah diterima parti-parti lain (dalam kerajaan) sebelum ini dan tidak seharusnya dijadikan polemik.
“Itu pandangan peribadi dialah (Hassan Abdul Karim). Sebenarnya isu UEC ini bukan isu baharu. Kerajaan dahulu pun dah iktiraf dan amat jelas kena ada SPM, kena ada Sejarah dan Bahasa Melayu.
“Jadi ia bukan isu baru. Parti-parti lain pun iktiraf, jadi tak ada isu. Itu pandangan peribadi dia lah,” katanya ditemui pemberita selepas Program pemukiman Penerangan Pusat PKR 2026 di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Fuziah mengulas gesaan Hassan yang mahu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletak jawatan kerana didakwa gagal mempertahankan dasar pendidikan nasional berhubung keputusan pengiktirafan UEC.
Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Susulan itu, Hassan menggesa Zambry dan Fadhlina meletak jawatan kerana gagal menentang keputusan Kabinet berkenaan keputusan mengiktiraf UEC.
Katanya, sepatutnya kedua-dua menteri itu mempertahankan dasar pendidikan nasional dan segala berhubungan dengannya dalam soal saluran kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).- MalaysiaGazette
















