Logo KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan tidak berasas mengenai sistem kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini termasuk tuduhan berulang yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah yang mendakwa kononnya universiti awam “menjual tempat kepada orang berduit” serta terdapat puluhan ribu pelajar memasuki IPTA melalui “pintu belakang”.

Terkini ialah rakaman video ucapan beliau yang disiarkan melalui Facebook sempena “Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan” yang berlangsung pada 13 Jun 2026.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk Universiti Awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah.

“Perlu ditegaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh YB Dr. Haim Hilman terhadap KPT,” kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, KPT sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta. Namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh.

KPT juga tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast