MUAR – Sebanyak lapan deretan kedai di Jalan Bakri, Taman Sri Emas di sini musnah dalam kebakaran lewat petang tadi.
Bagaimanapun kejadian kira-kira pukul 7 malam itu tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana penghuninya sempat menyelamatkan diri.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penguasa Bomba Kanan I Jahairi Shukor berkata, seramai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mereka dibantu anggota dari BBP Pagoh dan BBP Gambir dengan disertai tiga jentera Fire rescue Tender (FRT) dan sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT).
“Kebakaran melibatkan deretan kedai jenis separuh kekal yang terdiri daripada lapan unit kedai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi memadamkan kebakaran masih lagi dilakukan, punca kejadian dan kerugian sedang dikenal pasti.- MalaysiaGazette
















