Calon BN N.32 Linggi, Mohd Faizal Ramli yang akan bertanding sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Foto MALAYSIAGAZETTE, 15 JULAI 2026.

SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi N.32 Linggi, Mohd Faizal Ramli bersedia mempertahankan kerusi yang disandangnya meskipun bakal berdepan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Beliau berkata, pengumuman pencalonannya merupakan tanggungjawab besar untuk memastikan kubu kuat BN di Linggi terus kekal milik gabungan itu walaupun berdepan pencabar berprofil tinggi daripada Pakatan Harapan (PH).

“Status Linggi sebagai kawasan tradisi BN tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya setiap undi perlu diraih melalui kerja keras sepanjang tempoh berkempen.

“Sebagai penyandang di kawasan N.32 Linggi, sudah semestinya saya akan mempertahankan kerusi tersebut daripada dirampas oleh PH.

“Walaupun Linggi sering digambarkan sebagai kubu kuat BN, saya tidak menganggap pertandingan ini mudah.

“Saya tetap perlu turun padang, berkempen dan memastikan hati pengundi terus bersama BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN di Stadium Paroi, di sini, malam ini.

Calon BN N.32 Linggi, Mohd Faizal Ramli ketika diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2026.

Faisal berkata, kekuatan jentera parti di setiap kampung dan taman menjadi aset penting bagi memastikan gerak kerja kempen dapat dilaksanakan secara menyeluruh sehingga hari pengundian.

“Persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan sebenarnya telah dimulakan lebih awal apabila BN membuka bilik gerakan seawal 1 Julai lalu,” katanya.

Katanya, langkah itu membolehkan penyusunan jentera dilakukan lebih sistematik supaya kempen dapat digerakkan serta-merta sebaik sahaja calon diumumkan.

“Kami telah menyusun semua gerak kerja daripada awal. Sebaik pengumuman calon dibuat, jentera terus bergerak bagi mendekati dan meraih sokongan pengundi di seluruh kawasan,” katanya.

Mengulas sasaran majoriti kemenangan, Mohd Faizal berkata setiap pilihan raya mempunyai dinamik dan landskap politik yang berbeza, justeru keputusan lalu tidak boleh dijadikan ukuran mutlak.

“Gelombang penolakan terhadap BN pada Pilihan Raya Umum 2018 memberi kesan besar kepada parti kami, namun keadaan mula berubah selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 2022,” katanya.

Menurutnya, perkembangan politik semasa memberi keyakinan kepada BN bahawa sokongan rakyat semakin meningkat menjelang PRN Negeri Sembilan.

“Saya melihat senario pada 2026 cukup berbeza. Malah, saya melihat momentum kemenangan yang berlaku di Johor kini turut dirasai di Negeri Sembilan.

“Saya yakin dengan kerja kuat jentera dan sokongan rakyat, BN bukan sahaja mampu mempertahankan Linggi, malah berpeluang membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast