TEHRAN – Iran tidak akan membenarkan walaupun setitik minyak dieksport dari rantau itu jika infrastruktur negaranya terus diserang.
Amaran keras itu dibuat oleh Markas Pusat Khatam al-Anbiya, badan ketenteraan tertinggi Iran.
Bahkan, infrastruktur minyak, gas, elektrik dan ekonomi di seluruh rantau berkenaan juga berpotensi menjadi sasaran, lapor IRNA.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, mengulas kenyataan terbaharu Presiden, Donald Trump, dengan menegaskan bahawa sebarang tindakan pencerobohan terhadap Iran akan menerima tindak balas yang tegas.
Araghchi berkata, doktrin pertahanan Iran adalah jelas, iaitu “mata dibalas dengan mata”, sambil menegaskan sebarang serangan terhadap Iran, termasuk serangan ke atas infrastruktur negara itu, akan dibalas dengan tindakan yang tegas, berkuasa dan penuh keazaman.
Beliau turut memberi amaran a mana-mana pihak yang terlibat atau memberikan sokongan dalam apa jua bentuk terhadap tindakan pencerobohan itu akan dianggap sebagai sasaran yang sah.
Tegasnya, Tehran akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman keselamatan yang menyasarkan Iran. – Agensi
















