KUALA LUMPUR – Bagaimana Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi boleh dipercayai sebagai saksi sekiranya beliau sendiri mengakui telah mengelirukan Mahkamah dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebanyak empat kali?
Persoalan itu dibangkitkan peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah susulan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dalam prosiding saman sivil 1MDB hari ini.
Menurut Muhammad Shafee, pengakuan Shahrol itu amat penting kerana beliau kini sedang memberi keterangan sebagai saksi keempat pihak plaintif dalam saman sivil 1MDB bernilai US$5.64 bilion.
“Dia sendiri mengaku empat kali dia telah mengelirukan mahkamah dan juga PAC. Dia sendiri mengaku dia telah buat sedemikian.
“Jadi soalan pokok ialah, kalau dia berani tidak bercakap benar dengan sengaja di mahkamah dan di Parlimen, bagaimana kita boleh percaya dia di Mahkamah pada hari ini?” katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Shafee berkata, Shahrol Azral sebelum ini memberi alasan beliau mengangkat sumpah ketika memberikan keterangan di mahkamah, namun perkara sama turut terpakai ketika beliau memberi keterangan di Parlimen.
“Dalam Parlimen pun dia kena angkat sumpah. Tetapi dia cerita tidak betul dan begitu juga dalam mahkamah ini, dia angkat sumpah tetapi tidak cerita betul berkenaan dengan beberapa isu yang begitu mustahak,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara dibangkitkan dalam pemeriksaan balas ialah minit yang didakwa sebagai minit mesyuarat pemegang saham 1MDB, membabitkan Najib selaku pemegang saham tunggal syarikat itu menerusi Kementerian Kewangan.
Menurut Muhammad Shafee, Shahrol sebelum ini memberi keterangan mengenai satu pertemuan pada 16 Oktober 2009 antara beliau dengan Najib yang ketika itu merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.
“Adalah tidak masuk akal Datuk Seri Najib ada mesyuarat dengan dia sendiri. Dia bercakap dengan dirinya sendiri, tetapi ada orang pula ambil nota. Datuk Shahrol ambil nota mengatakan ini adalah mesyuarat.
“Tetapi hari ini dia mengaku tidak ada mesyuarat,” tegasnya.
Lebih mengejutkan, kata Muhammad Shafee, Shahrol Azral turut memberi keterangan draf minit pertemuan berkenaan telah disediakan terlebih dahulu oleh Low Taek Jho atau Jo Low, walaupun ahli perniagaan dalam buruan itu tidak hadir dalam pertemuan tersebut.
“Dia sudah reka bentuk semua, isi dan kandungan, semuanya Jho Low yang buat. Shahrol sebagai Ketua Pegawai Eksekutif begitu mudah mengambil dokumen tersebut dan kemudian suruh Datuk Seri Najib tandatangan.
“Kita sudah tahu, kita ada keterangan Najib tidak tandatangan kerana kita ada keterangan pakar tandatangan yang mengatakan itu bukan tandatangan Najib,” katanya lagi.
Muhammad Shafee turut mempersoalkan kewajaran dakwaan Najib sempat diberikan taklimat mengenai perkara berkaitan 1MDB yang begitu rumit dalam tempoh kira-kira 20 hingga 30 minit pada lewat malam.
“Masa itu sudah malam, beliau baru balik daripada kerja. Anda tidak boleh mengharapkan Perdana Menteri untuk dapat menumpukan perhatian dan menerima taklimat ringkas mengenai perkara yang begitu rumit dalam masa begitu pendek,” tegasnya.
Menurut Muhammad Shafee, perkara lebih penting ialah Shahrol sendiri mengakui pertemuan berkenaan tidak berlaku seperti yang digambarkan sebelum ini, sedangkan draf minitnya sudah disediakan terlebih dahulu.
“Dia mengaku mesyuarat itu tidak berlaku. Semuanya dibekalkan oleh Jho Low.
“Jadi nampak sangat dia berpakat dengan Jho Low, bukan berpakat dengan Perdana Menteri. Dua orang ini daripada pengurusan dan Jho Low pula orang luar. Nampak sangat,” katanya.
Saman sivil 1MDB bernilai US$5.64 bilion itu difailkan pada 7 Mei 2021 oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib serta beberapa bekas anggota pengurusan dan lembaga syarikat berkenaan.
Shahrol Azral pada asalnya turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu sebelum namanya digugurkan. Beliau kemudian tampil sebagai saksi pihak plaintif dan kini merupakan saksi keempat yang dipanggil dalam perbicaraan tersebut.
Prosiding berkenaan bermula pada 3 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan keterangan Shahrol Azral kini menjadi antara tumpuan utama pemeriksaan balas pihak pembelaan.
















