KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) bersama badan bukan kerajaan NGO akan membuat laporan polis berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk, Kuala Terenggangu yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan itu bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh demi memastikan tiada pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan lambang kedaulatan negara.
“Kami menyatakan kemarahan yang amat mendalam dan mengecam sekeras-kerasnya insiden pengibaran Jalur Gemilang yang rosak, cacat, serta tidak cukup sifat tanpa lambang bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk baru-baru ini.
“Sebagai sebuah gerakan yang tegas mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan negara, kami melihat perkara ini sebagai satu bentuk penghinaan visual yang amat serius terhadap simbol tertinggi identiti nasional Malaysia.,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau lagi, pihkanya turut menolak kenyataan yang dibuat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menjustifikasikan insiden itu sebagai perkara terpencil dan tidak disengajakan.
“Alasan ‘reka bentuk terpisah akibat ditiup angin kencang’ yang diberikan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu adalah sangat tidak munasabah dan seolah-olah memperbodohkan rakyat.
“Adalah mustahil bagi mana-mana individu atau pegawai ditugaskan yang menaikkan bendera sebesar itu di lokasi tumpuan awam utama untuk “tidak perasan” bahawa elemen sakral iaitu bulan dan bintang telah hilang daripada fizikal bendera sebelum ia berkibar megah. Di mana sensitiviti nasional mereka?” ujarnya.
Pada masa sama, Zulkarnain turut mempersoalkan bagaimana sekiranya isu tersebut berlaku di Pulau Pinang yang pastinya terdapat pihak tertentu melabelkan ia sebagai agenda sabotaj atau anti-nasional.
“Cuba bayangkan sekiranya bendera cacat dan tidak cukup sifat ini dipasang serta dikibarkan di negeri Pulau Pinang? Sudah pasti pihak-pihak tertentu akan melabelnya sebagai agenda sabotaj, anti-nasional, dan menggerakkan siri demonstrasi jalanan secara agresif.
“Mengapa apabila ia berlaku di Terengganu, pimpinan negeri dengan mudah mahu meremehkannya sebagai “kesilapan teknikal”? Standard penilaian dwi-standard yang korup ini wajib dihentikan segera!,”jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Negeri Terengganu memastikan prosedur pemeriksaan serta penyelenggaraan bendera dilaksanakan dengan baik bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.
“Mereka tidak boleh lepas tangan terhadap kelonggaran pengawasan dan pemantauan pihak berkuasa tempatan dalam menjaga kesucian Jalur Gemilang. Ini satu kegagalan tadbir urus sekaligus memalukan seluruh rakyat Malaysia.
“Mengibarkan bendera kebangsaan dalam keadaan tidak cukup sifat adalah perbuatan yang serius dan melampau serta tidak boleh dipandang ringan. Jangan sesekali memperjudikan maruah dan kesucian lambang negara!,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















