Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rancangan Selangor Kedua (RS2) pada sidang Dewan Negeri Selangor, di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Rancangan Selangor Pertama (RS1) bagi tempoh 2021 hingga 2025 berjaya menyumbang tambahan RM16.8 bilion kepada nilai ekonomi negeri berdasarkan analisis Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah berkenaan terhasil daripada RM14.7 bilion peruntukan kerajaan dan swasta yang memberikan impak gandaan sebanyak 1.14 kali.

Pencapaian itu menunjukkan kepentingan pelaksanaan perancangan pembangunan jangka sederhana secara tersusun bagi memastikan pelaburan dan peruntukan kerajaan memberikan kesan kepada ekonomi negeri.

“Selepas lima tahun, alhamdulillah kita telah mencapai sehingga 79.1 peratus daripada segala ikhtiar yang digariskan dalam RS1,” katanya menyampaikan ucapan penggulungan Rancangan Selangor Kedua (RS2) pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Amirudin, beberapa projek berskala besar masih memerlukan kesinambungan menerusi RS2 berikutan tempoh pembinaannya yang panjang.

“Antara projek berkenaan termasuk pembangunan wilayah ekonomi IDRISS di Selatan Selangor, SABDA di Utara Selangor dan ZPE-SMG di sepanjang pesisir Sungai Klang.

“Kerajaan negeri turut menyenaraikan Selangor Aero Park serta Gudang Makanan Selangor sebagai antara inisiatif yang memerlukan tempoh pelaksanaan lebih panjang,” katanya.

Dalam pada itu kerajaan negeri mengakui terdapat keperluan memperkukuh sistem pengukuran keberkesanan dasar, termasuk mengukur nilai tambah yang terhasil daripada pelaksanaan Dasar Speed Selangor.

Jelasnya, dasar berkenaan antara lain bertujuan mengurangkan tempoh pengurusan kepada syarikat yang mahu memulakan perniagaan di Selangor.

“Kesemua ini akan menjadi garis pengukur bagi unit statistik yang akan diusahakan sebahagian daripada Rancangan Selangor Kedua,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri turut memperkenalkan idea membangunkan Selangor Dignified Living Index atau Indeks Kehidupan Bermaruah Selangor sebagai ukuran baharu terhadap taraf hidup rakyat.

“Indeks itu akan mengambil kira pendapatan isi rumah, kos perumahan, makanan, pengangkutan serta aspek kehidupan lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast