KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya memastikan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen disalurkan secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, dan tidak dijadikan alat politik.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, peruntukan berkenaan merupakan hak rakyat serta sumber awam dan tidak seharusnya dijadikan ganjaran kepada wakil rakyat yang menyokong kerajaan atau hukuman terhadap yang berbeza pendirian politik.
Menurut beliau, dalam masa yang sama akses kepadanya juga perlu diberikan kepada semua Ahli Parlimen secara sama rata.
“Tidak harus timbul situasi hanya Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri diberikan akses kepada peruntukan ini, manakala mereka yang tidak menyokong pula dinafikan.
“Ini akan membuktikan keikhlasan Perdana Menteri bahawa perbezaan fahaman politik tidak menjadi penentu sama ada seseorang wakil rakyat boleh mengaksesnya atau tidak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wee berkata, pendekatan itu juga selari dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang memperjuangkan peruntukan kawasan secara sama rata untuk wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Katanya, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan Persekutuan dan PH pada 2021 turut menyaksikan prinsip peruntukan kawasan yang adil kepada semua Ahli Parlimen diinstitusikan.
Walaubagaimanapun, beliau mendakwa tindakan kerajaan sejak berkuasa bercanggah dengan tuntutan dan komitmen PH apabila enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diwajibkan mengisytiharkan sokongan politik kepada Perdana Menteri bagi menerima peruntukan.
“Pada masa sama, tiga Ahli Parlimen PKR pula dinafikan akses kepada portal MyKhas disebabkan pertikaian dalaman parti sendiri.
“Peruntukan kawasan adalah hak rakyat dan sumber awam yang tidak boleh sama sekali dijadikan ganjaran atau hukuman politik,” katanya lagi.
Anwar Ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres PKR baru-baru ini mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta kepada setiap Parlimen yang akan diagihkan menerusi agensi yang mengurus keperluan rakyat.-MalaysiaGazette
















