Anggota tentera berusia 41 tahun ditahan disyaki jadi 'runner' hantar daun ketum.

KUANTAN – Seorang anggota tentera merupakan antara tiga lelaki yang ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara Kuantan selepas disyaki terbabit kegiatan mengedar daun ketum dan air ketum.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketiga-tiga mereka ditahan menerusi tiga serbuan berasingan Op Mitra yang dijalankan PGA di sekitar daerah ini semalam.

“Ketika serbuan, anggota tentera berusia 41 tahun ditahan kira-kira 11 malam ketika berada di dalam sebuah pikap Isuzu D-Max dan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Terminal Sentral Kuantan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bahagian muatan belakang kenderan dipandu suspek itu menemui 100 kilogram daun ketum dalam lima kotak berwarna coklat yang dibalut dengan pita pelekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu pasukan PGA menahan lelaki terbabit serta merampas kesemua daun ketum dan kenderaan terbabit yang dianggarkan bernilai RM84,000.

“Difahamkan suspek mengambil stok daun ketum yang tiba di terminal bas ini sebelum menghantarnya ke Pekan kepada seorang individu yang dikenali sebagai Pokjak.

“Suspek memaklumkan menjadi runner yang telah membuat sebanyak 10 kali penghantaran sejak bulan Julai 2026 dan mengambil upah RM200 bagi setiap penghantaran,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Radzi berkata, pihaknya juga menemui 418 botol plastik lutsinar cecair disyaki air ketum dianggarkan berkapasiti 627 liter serta pelbagai peralatan memproses air ketum menerusi serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah rumah di Indera Sempurna.

Gambar ihsan PGA Briged Tenggara Kuantan

Katanya, seorang lelaki berusia 43 tahun berjaya ditahan dan kesemua barang terbabit termasuk sebuah kereta jenis Proton Saga warna hitam di mana nilai keseluruhan dianggarkan RM25,410 turut dirampas.

Beliau berkata, lelaki tersebut mengaku telah terlibat aktiviti menjual air ketum sejak tahun 2020 selain turut berperanan sebagai runner yang menerima bayaran komisen bagi setiap botol air ketum yang berjaya dijual.

Selain itu siasatan awal turut mendapati suspek diberikan kenderaan berlainan bagi setiap urusan bagi mengelak kegiatan tersebut dikesan pihak berkuasa.

Ahmad Radzi berkata, serbuan seterusnya dijalankan pukul 9.30 malam di kawasan stesen minyak di Bukit Rangin di sini ke atas sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan PGA menemukan tiga kotak berwarna coklat yang dibalut dengan pita pelekat di bahagian muatan belakang pikap itu ketika pemeriksaan dilakukan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 313 bungkusan disyaki daun ketum dengan anggaran berat kira-kira 60 kilogram. Pasukan PGA menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan merampas kesemua daun ketum dan pikap itu dengan nilai rampasan dianggarkan RM37,400,” katanya.

Gambar ihsan PGA Briged Tenggara Kuantan

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mendapatkan bekalan daun ketum dari Kedah sejak kira-kira dua tahun lalu yang kemudiannya dipercayai direbus untuk kegunaan sendiri bersama rakan-rakan dan sebahagiannya dijual semula.

Ahmad Radzi memaklumkan, kesemua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawab Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau menegaskan PGA akan terus mempergiat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan memproses, menyimpan, mengedar dan menjual daun ketum serta air ketum khususnya di kawasan Kuantan dan kawasan sekitarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here