KUALA LUMPUR – UMNO didakwa mempunyai kepentingan politik untuk mendesak Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal bagi membuka ruang kepada Pas untuk merebut jawatan Perdana Menteri.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, perkembangan terbaharu membabitkan UMNO dan Pas menunjukkan kedua-dua parti itu sedang menyusun strategi politik masing-masing menjelang PRU-16.
Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat menerusi kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berpandangan pembubaran Parlimen lebih awal adalah wajar selain kenyataan Pas mengenai hasrat untuk mengetengahkan calon Perdana Menteri daripada parti itu.
“Di sini kita nampak bahawa sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani, UMNO akan menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan PRU-16 lebih awal agar Pas mampu untuk menjadi PM sementara sentimen penyatuan ummah dan perpaduan Melayu masih terkesan kepada masyarakat.
“Untuk UMNO pula, isu rasuah mungkin ‘selamat’ sebab Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah kata isu rasuah di Malaysia digunakan bagi memburukkan lawan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Iman Haziq seterusnya mendakwa Pas berpotensi memperoleh lebih banyak kerusi berbanding UMNO pada PRU-16 sekali gus membuka laluan kepada parti itu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah 112 kerusi.
“Tidak mengapa juga untuk UMNO lepaskan kerusi PM kepada Pas asalkan ramai pimpinan UMNO yang sekarang ini sedang turun naik mahkamah kerana didakwa kes rasuah boleh terlepas kerana menurut Pas, rasuah bukan suatu jenayah,” katanya.
Baru-baru ini, Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Pas Pusat mendakwa kerajaan mengamalkan tindakan terpilih dalam usaha membanteras rasuah.
Beliau turut mendakwa isu rasuah digunakan untuk memburukkan lawan politik manakala sekutu pihak berkuasa pula didakwa terlepas daripada tuntutan keadilan.
Dalam ucapan sama, Abdul Hadi mengakui Pas mempunyai calon Perdana Menteri untuk menghadapi PRU-16 namun nama individu berkenaan belum akan didedahkan pada masa ini.
Menurutnya, penentuan calon Perdana Menteri hanya akan dibuat selepas mengambil kira kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini berpandangan PRU-16 wajar diadakan lebih awal sebelum tempoh penggal Parlimen berakhir pada hujung tahun depan.
Katanya, langkah itu membolehkan mandat untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan diperoleh semula daripada rakyat. – MalaysiaGazette
















