Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyifatkan politik identiti dan politik prestasi yang dibangkitkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan adalah sesuatu yang bersilang.

Menurut bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, kerajaan boleh membina jalan, menarik pelaburan dan mencatat pertumbuhan ekonomi.

Namun, ujarnya, jika sebahagian masyarakat masih merasakan mereka tidak diwakili, tidak mendapat peluang yang adil atau tidak mempunyai tempat yang sewajarnya dalam struktur kuasa, maka persoalan politik itu belum selesai.

Lebih membimbangkan, kata beliau, apabila pemerintah menentukan sendiri apa yang dianggap sebagai `politik prestasi’, sedangkan persoalan berkaitan identiti, representasi, agama atau ketidakseimbangan sosial dengan mudah dilabel sebagai `politik identiti’.

“Di sinilah berlaku proses depoliticisation. Persoalan tentang kuasa, kepentingan, representasi dan pengagihan sumber boleh dikecilkan menjadi sekadar angka, statistik dan pencapaian pentadbiran,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Sementara itu, beliau mengakui politik identiti sememangnya berbahaya apabila kaum atau agama dieksploitasi untuk membina kebencian, ketakutan dan permusuhan, justeru politik seperti itu mesti ditolak.

Namun, ujarnya, setiap tuntutan yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan terhadap hak, kepentingan dan kedudukan sesuatu komuniti tidak boleh terus `dicop’ sebagai politik identiti.

“Tidak semua politik identiti adalah politik kebencian, sebagaimana tidak semua politik prestasi menjamin keadilan,” katanya.

Tambah beliau, dalam masyarakat majmuk, pemerintah perlu `ukur baju di badan sendiri’, yang mana ukuran kejayaan tidak boleh hanya berdasarkan apa yang tercatat dalam laporan kerajaan, tetapi mesti berdasarkan apa yang dirasai rakyat di lapangan.

Lebih penting, katanya, mengurus kepelbagaian memerlukan kebijaksanaan `bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak’.

Jelasnya, terlalu keras mengurus identiti boleh memecahkan masyarakat, terlalu longgar pula boleh membuka ruang kepada politik perkauman dan eksklusivisme.

“Hakikatnya, demokrasi bukan pertandingan antara identiti dengan prestasi.

“Prestasi tanpa keadilan boleh melahirkan rasa terpinggir. Identiti tanpa inklusiviti pula boleh melahirkan perpecahan,” katanya.

Tambahnya, politik yang matang ialah politik yang mampu menggabungkan kedua-duanya, menghasilkan prestasi yang boleh dirasai rakyat, sambil mengurus identiti dengan adil, inklusif dan bertanggungjawab.

Pada akhirnya, kata beliau, ukuran sebenar sebuah kerajaan bukan hanya berapa banyak yang dibina, tetapi berapa ramai yang merasa mereka turut dibina bersama negara ini.

“Angka boleh menunjukkan pencapaian, tetapi keadilan membina kepercayaan. Identiti membentuk rasa memiliki manakala prestasi mengukur sejauh mana pemerintah benar-benar bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here