MELAKA – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka membuka perbincangan mengenai hala tuju kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sentiasa berhubung dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga merupakan sahabat lamanya.
Menurut beliau, hubungan berkenaan turut membolehkan mereka berbincang mengenai pelbagai perkara termasuk perkembangan politik semasa.
“Saya dengan Ketua Menteri Melaka ini sahabat lama saya, selalu berhubung. Saya selalu berhubung.
“Sekarang pun dia dalam lawatan rasmi di New Zealand. Dia balik bila pun saya tahu, dia balik 19 haribulan. Dia pergi dengan siapa pun saya tahu. Kami sentiasa berhubung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan Jabatan Imigresen Malaysia, hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Saifuddin berkata, beliau juga lazimnya akan mengunjungi kediaman Ab Rauf setiap kali berada di Melaka.
“Kalau ke Melaka saya mesti singgah rumah dia, makan asam pedas Mak Leha dengan dia. Jadi, kami sentiasa berhubung.
“Dalam perhubungan itu, kami berbincang pelbagai perkara,” katanya.
Mengulas sama ada perbincangan mengenai PRN Melaka akan dibawa dalam pertemuan dengan Ab Rauf, Saifuddin berkata perkara itu berkemungkinan disentuh memandangkan pilihan raya negeri semakin hampir.
“Oleh kerana Melaka ini dah dekat pilihan raya, kemungkinan kita akan membuka tajuk itu (kerjasama PH-BN),juga. Kemungkinanlah (runding jalinkan kerjasama sempena PRN Melaka) ,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin secara berseloroh menafikan beliau ada menyebut mengenai pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka untuk membincangkan hala tuju PH-BN dalam PRN berkenaan.
“Saya sebut kat mana? Dalam ucapan tak ada…” katanya sambil ketawa.
Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN Melaka akan datang.
Beliau berkata, bentuk kerjasama dan jumlah kerusi yang bakal ditandingi belum dimuktamadkan, dengan dua siri mesyuarat telah diadakan bagi menilai potensi serta persediaan menghadapi PRN setakat ini masih tertumpu pada peringkat dalaman gabungan itu.
Minggu lalu, Ab Rauf berkata, BN Melaka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN Melaka di bawah formula BN Plus.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata beliau membuka pintu seluas-luasnya untuk mana-mana pihak yang ingin berunding dengan parti tersebut bagi menghadapi PRN kali ini. – MalaysiaGazette
















