KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan) menyambut baik dan memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperketat pemantauan dan penguatkuasaan di pusat logistik KLIA melalui pengoperasian Unit Anjing Pengesan Hidupan Liar (K9).
Usaha Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam mengesan serta membanteras penyeludupan hidupan liar termasuk perdagangan haram melibatkan gading gajah, sisik tenggiling, anggota hidupan liar dan spesies hidup amat penting dalam memastikan Malaysia tidak dijadikan sebagai negara sumber, transit atau laluan bagi sindiket perdagangan hidupan liar antarabangsa.
Shelter Ihsan berpandangan khazanah negara seperti gajah, harimau Malaya, tapir dan spesies hidupan liar lain yang semakin terancam tidak boleh dinilai semata-mata dengan wang ringgit.
“Kehilangan spesies-spesies ini merupakan kehilangan kekal kepada biodiversiti dan warisan generasi akan dating,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa yang sama, Shelter Ihsan bersama PERKAM, para aktivis haiwan, NGO dan NGI berharap pucuk kepimpinan negara memberikan perhatian serius terhadap sebarang dakwaan atau kebimbangan masyarakat mengenai kemungkinan wujudnya kegiatan tersusun atau ‘sisi gelap’ di sebalik perdagangan dan pengeksportan khazanah hidupan liar negara.
“Dalam usaha mengembalikan dan memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi serta agensi penguatkuasaan, kami turut menaruh harapan kepada kepimpinan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Abd Halim Aman supaya sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa, perlindungan pihak tertentu atau jaringan berkepentingan yang mungkin mempunyai kaitan dengan perdagangan dan penyeludupan hidupan liar disiasat secara bebas, telus dan menyeluruh sekiranya terdapat asas serta bukti yang munasabah.
“Kami percaya bahawa tindakan tegas terhadap sindiket di lapangan sahaja tidak mencukupi sekiranya terdapat pihak berkepentingan yang lebih besar di belakang kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Sekiranya wujud bukti penglibatan mana-mana individu, pegawai, syarikat atau rangkaian tertentu, masyarakat berhak melihat proses undang-undang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Dalam pada itu, pihaknya juga berharap pihak berkuasa dapat memberikan perhatian sewajarnya terhadap isu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang telah menimbulkan persoalan dan kebimbangan dalam kalangan pencinta serta aktivis haiwan.
“Kami tidak mahu mendahului sebarang siasatan atau membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak. Sebaliknya, kami menyeru supaya segala persoalan berkaitan DAK diperjelaskan melalui fakta, rekod, dokumentasi dan siasatan yang telus, termasuk sekiranya terdapat isu berkaitan pemindahan, pemilikan, perdagangan atau pengeksportan hidupan liar,” katanya.
Ketelusan seperti ini amat penting bukan sahaja bagi menjawab persoalan masyarakat tempatan, tetapi juga bagi menjaga imej Malaysia di mata komuniti pemuliharaan dan pertubuhan kebajikan haiwan di peringkat antarabangsa.
Shelter Ihsan berpandangan isu perlindungan hidupan liar perlu melangkaui perbezaan organisasi dan agensi serta badan-badan berkaitan perlu terus memperkukuhkan perkongsian risikan dan penguatkuasaan bagi memutuskan keseluruhan rantaian sindiket daripada pemburu dan orang tengah sehinggalah kepada pembiaya serta pihak yang melindungi kegiatan tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















