--kredit Nforceteam KPDN

KUALA LUMPUR – Dua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor cedera ketika menjalankan tugas dalam Ops Tiris 4.0 bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi gas petroleum cecair (LPG) melalui aktiviti decanting.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Penolong Pegawai Penguat Kuasa Mohammad Fauzi Baharuddin mengalami kecederaan agak serius dan masih menerima rawatan.

Beliau berkata Pembantu Penguat Kuasa R. Yoghanath pula mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

“Doa saya bersama Mohammad Fauzi agar diberikan kesembuhan sepenuhnya dan kekuatan untuk melalui proses rawatan.

“Kepada keluarga beliau, saya memahami keresahan dan kebimbangan yang sedang dilalui ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Armizan juga berharap agar kedua-duanya diberikan kekuatan dan ketabahan.

“Kepada Yoghanath, semoga terus diberikan kesihatan yang baik dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menzahirkan dukacita serta simpati dengan insiden itu, dan berkata kejadian berkenaan menggambarkan risiko sebenar yang dihadapi warga penguat kuasa KPDN setiap kali menjalankan tugas di lapangan.

“Di sebalik setiap serbuan dan operasi yang dilaksanakan, ada anggota yang meninggalkan keluarga untuk menjalankan amanah, berhadapan dengan keadaan yang tidak dapat dijangka dan dalam keadaan tertentu, mempertaruhkan keselamatan diri demi melindungi kepentingan rakyat dan negara.

“Kepada seluruh warga penguat kuasa KPDN, terima kasih atas keberanian dan pengorbanan kalian,” katanya yang turut mendoakan keselamatan seluruh warga KPDN yang menjalankan tugas.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here