Gambar ihsan Kesultanan Pahang

ROMPIN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pengwartaan kawasan Orang Asli di negeri itu dipercepatkan.

Ia bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan kepada masyarakat berkenaan benar-benar terpelihara termasuk membabitkan status 264 Kampung Orang Asli (KOA) di seluruh negeri ini.

Menurut laporan Kesultanan Pahang, sebanyak 30 daripada 264 KOA itu telah selesai diwartakan manakala 16 KOA telah diberikan hak milik tanah, menjadikan keseluruhannya 46 KOA telah mempunyai penyelesaian status tanah.

Daripada baki 218 KOA, sebanyak 75 permohonan sedang diproses oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), manakala 31 permohonan telah teratur untuk dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK).

Sementara itu, titahnya, sebanyak 44 KOA pula mempunyai pertindihan status tanah, antaranya melibatkan Hutan Simpanan Kekal, Tanah Rizab Melayu dan Tanah Milik manakala 143 KOA masih belum diterima permohonan.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya perkara berkenaan diperhalusi dan sebarang permasalahan atau halangan undang-undang dikenal pasti serta dicari kaedah penyelesaiannya.

“Jangan dibiarkan orang kita (orang asli) menunggu tanpa kepastian,” titah baginda menerusi Kesultanan Pahang.

Baginda turut menitahkan supaya setiap kampung dan KOA dikenal pasti status tanahnya satu persatu sebelum kaedah penyelesaian yang bersesuaian dan sah di sisi undang-undang ditentukan.

“Jangan gunakan satu kaedah yang sama untuk semua kawasan kerana keadaan setiap penempatan adalah sangat berbeza. Persempadanan hendaklah jelas, kawasan penempatan dan pertanian yang benar-benar digunakan oleh masyarakat Orang Asli perlu dikenal pasti dan dilindungi,” titah baginda.

Menurut Kesultanan Pahang, baginda turut menegaskan, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), dengan dibantu Kerajaan Negeri Pahang serta agensi berkaitan perlu memastikan hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian sewajarnya.

Bagaimanapun baginda bertitah, sebarang pencerobohan, peluasan kawasan tanpa kebenaran atau tuntutan yang tidak berlandaskan undang-undang tidak boleh dikompromi.

“Hak Orang Asli yang sah, kita akan pertahankan. Kebajikan mereka, kita akan sentiasa pelihara. Tetapi apabila pencerobohan berlaku, peluasan kawasan tanpa kebenaran atau tuntutan yang tidak berlandaskan undang-undang, kita tidak boleh berkompromi,” titah baginda lagi.

Baginda pada masa sama menasihati masyarakat Orang Asli supaya menggunakan saluran permohonan yang sah melalui JAKOA atau agensi kerajaan berkaitan dalam memperjuangkan hak mereka.

Kesultanan Pahang juga memaklumkan baginda menzahirkan komitmen untuk terus memantau dan memberi perhatian sewajarnya terhadap kepentingan serta kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here