KUALA LUMPUR – Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi bulan Ogos 2026 kepada kategori Veteran Tidak Berpencen (60 tahun ke atas) serta Veteran Berpencen dan Balu (60 tahun ke atas) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dikreditkan secara berperingkat esok, sehingga jam 11.59 malam.
Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memaklumkan, tempoh itu berikutan terdapat penyelesaian semakan kuiri dalaman di mana proses pengesahan akhir yang ketat dan teliti telah dilakukan bagi memastikan setiap bayaran disalurkan secara tepat, selamat dan lancar kepada semua penerima yang layak.
Menurutnya, penerima BSH yang tamat tempoh kelulusan tiga tahun pada tahun ini dan belum mengemukakan permohonan penyambungan adalah diingatkan supaya segera berbuat demikian.
Jelasnya, mereka perlu mengemas kini maklumat pendapatan isi rumah terkini serta menghantar permohonan ke JHEV ATM melalui Portal Rasmi JHEV ATM atau secara dalam talian melalui Portal Rasmi VIBES 2.0.
“Permohonan penyambungan BSH boleh dipohon seawal enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambah beliau, penerima yang belum mempunyai akaun VIBES adalah digalakkan untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat di Portal Rasmi VIBES 2.0 bagi memudahkan segala urusan permohonan dan semakan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
















