KUALA LUMPUR – Sebanyak RM13.45 juta didakwa diterima melalui beberapa akaun bank peribadi dan sebuah syarikat dalam tempoh hampir tiga tahun, membabitkan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Norliza Tajudin di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Norliza, 54, yang berbaju kurung dan bertudung gelap, kelihatan tenang ketika kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Norliza, yang juga Pengarah Energy Eco Berhad, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Qistini Qamarul Abrar mengetuai pendakwaan, manakala Norliza diwakili peguam Datuk Gobinath Mohanath.
Mengikut pertuduhan, wang berjumlah RM13,456,605.29 itu didakwa diterima melalui transaksi pindahan dalam talian dan cek daripada akaun Energy Eco Berhad sebelum dimasukkan ke beberapa akaun bank milik Norliza serta Aura Emas Trading Sdn. Bhd..
Antara pertuduhan membabitkan RM3.25 juta yang didakwa diterima melalui lapan transaksi pembelian bank antara 31 Mac hingga 8 November 2021, selain RM250,000 melalui sekeping cek pada 6 Ogos tahun sama.
Norliza turut didakwa menerima RM526,314.95 melalui pindahan dalam talian antara 1 Februari hingga 29 November 2021 dan RM400,000 melalui transaksi sama pada 12 November 2021.
Bagi tempoh 13 Januari hingga 23 Mei 2022, dia didakwa menerima RM500,000 melalui dua keping cek dan RM1.65 juta melalui tiga keping cek yang dimasukkan ke akaun bank miliknya.
Dia seterusnya didakwa menerima RM136,894.34 melalui pindahan dalam talian antara 6 April hingga 5 Disember 2022, manakala dua pertuduhan berikutnya masing-masing membabitkan RM250,000 pada 31 Januari 2024 dan RM300,000 pada 2 Februari 2024.
Pertuduhan terakhir pula membabitkan dakwaan Norliza, selaku pengarah Aura Emas Trading, mengatur penerimaan RM1.896 juta melalui 10 keping cek daripada Energy Eco Berhad ke akaun syarikat berkenaan antara 9 Mac hingga 7 November 2022.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam prosiding sama, mahkamah membenarkan kes baharu itu dibicarakan bersama kes terdahulu yang turut membabitkan Norliza dan Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar selepas pihak pembelaan tidak membantah permohonan pendakwaan.
Mahkamah turut dimaklumkan tiga jilid dokumen tambahan telah diserahkan kepada kedua-dua tertuduh, namun beberapa dokumen masih belum diperoleh daripada agensi berkaitan.
Berhubung jaminan, mahkamah membenarkan wang jaminan RM100,000 yang telah didepositkan dalam kes terdahulu, termasuk syarat-syarat sedia ada, diguna pakai untuk pertuduhan baharu sehingga kes selesai.
Sebutan semula bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 29 Oktober ini bagi perkembangan serahan dokumen lanjut. – MalaysiaGazette















