Penguat kuasa MBDK, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom hadir ke mahkamah atas pertuduhan menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali loop sehingga menyebabkan kematian ketika di Mahkamah Sesyen Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OGOS 2026.

KLANG Lelaki yang didakwa menyakiti seekor anjing bernama Rocky ketika operasi penangkapan haiwan di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara tidak munasabah telah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali loop sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang di antara jam 11 malam hingga 11.30 malam, pada 29 Julai lalu.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) Akta yang sama.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.

Tertuduh yang mengenakan kemeja putih berseluar hitam tiba di Mahkamah Sesyen di sini kira-kira 8.50 pagi tadi.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabra mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan dengan menyerahkan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri Jabatan Veterinar Selangor setiap bulan.

Bagaimanapun peguam Muhammad Rafique Rashid Ali merayu agar jaminan dikurangkan sehingga RM3,000 dengan seorang penjamin tanpa perlu syarat tambahan.

Peguam tertuduh mengatakan cadangan pihak pendakwaan tidak masuk akal dan menekan anak guamnya yang sudah menetap di taman tersebut selama 22 tahun iaitu sejak kecil lagi.

Hakim Mujib bagaimanapun membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di Jabatan Veterinar Selangor setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Oktober ini sebagai tarikh sebutan kes untuk penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here