Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menggantung tugas pemandu lori jabatan itu yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan tiga beranak di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata tindakan itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian tersebut.

“Tindakan segera jabatan ialah menggantung tugas pemandu sehingga kes selesai dan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam kes ini.

“JIM juga sedang melakukan siasatan dalaman dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi semalam, tiga pejalan kaki daripada satu keluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori Black Maria milik JIM.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang dalam perjalanan ke arah Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin memasuki persimpangan lampu isyarat ketika lampu merah dengan mengaktifkan lampu suar (beacon) serta siren.

Kenderaan itu bertembung dengan sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu hijau, menyebabkan lori hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh pejalan kaki serta sebuah kereta Inokom Matrix. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here