KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya peraturan berkaitan perdagangan elektronik dipercepatkan bagi memudahkan urusan peniaga digital di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan kini sedang melakukan penambahbaikan terhadap undang-undang berkaitan e-dagang bagi memastikan ekosistem perniagaan digital lebih mudah diakses khususnya oleh usahawan muda dan perusahaan kecil.
Menurut beliau, kerajaan terbuka untuk mendengar pandangan pemain industri dalam usaha menambah baik ekosistem berkenaan.
“Saya telah buka lagi cepat, sudah membukakan lebih cepat saya boleh menilai dan kalau betul-betul menarik dan menguntungkan dan memberi ruang kepada rakyat dan anak-anak muda untuk berniaga, saya boleh luluskan pada awal Oktober,” katanya ketika merasmikan Tiktok Summit Malaysia 2026 hari ini.
Anwar berkata, pada masa sama, kerajaan perlu memastikan sebarang penambahbaikan dalam sektor e-dagang turut disertai kawal selia yang sewajarnya bagi mengelakkan ruang digital disalahgunakan.
Katanya, kerajaan mahu menggalakkan perniagaan yang sah dan bona fide namun aspek etika serta perlindungan pengguna tidak boleh diketepikan.
“Setiap ikhtiar baru atau inisiatif baru, dia juga ada beberapa kegagalan dan cabaran. Kita nak galakkan legitimate bona fide businesses tapi kita tahu ruang ini juga terbuka bagi kalangan yang mungkin menyalahgunakan,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan nilai akhlak dan etika dalam perkembangan ekonomi digital termasuk memastikan makanan dan barangan yang dipasarkan mempunyai kualiti serta tidak mengelirukan atau menipu pengguna.
Beliau berkata, kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi perlu bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan, selaras dengan pendekatan Malaysia Madani.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus mencari kaedah bagi memudahkan akses pembiayaan dan sokongan kepada usahawan kecil yang baru memulakan perniagaan serta belum mempunyai rekod prestasi.
Beliau turut memuji potensi ekonomi digital dalam membuka ruang kepada golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan dengan memanfaatkan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).
Anwar berkata, kerajaan tidak mahu campur tangan secara berlebihan, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin dan menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi membantu perusahaan berkembang.
“Jangan anggap saya punya kemahiran dalam bidang ini tetapi bezanya ialah kepimpinan kerajaan sedia mendengar dan membuat beberapa penyesuaian untuk memastikan perjalanan kerja,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat ekonomi digital dapat dirasai lebih meluas, terutama dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. – MalaysiaGazette
















