N Sivakumar

KUALA LUMPUR – Tragedi kematian Keziah Nisha, 14, perlu menjadi titik perubahan dalam menangani isu buli di sekolah dan bukan berakhir dengan ucapan takziah semata-mata, kata Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia, Datuk N Sivakumar.

Beliau berkata, pihak bertanggungjawab perlu menjelaskan perkara sebenar berhubung dakwaan Keziah, pelajar SMK Danau Kota, pernah berdepan isu buli serta meluahkan kebimbangan mengenai perkara itu sebelum tragedi berlaku.

Katanya, jika dakwaan tersebut benar, persoalan utama yang perlu dijawab ialah mengapa tindakan susulan tidak diambil bagi melindungi mangsa dan memastikan keselamatannya.

“Jika benar perkara ini berlaku, mengapa pihak bertanggungjawab tidak mulakan sebarang tindakan lanjutan? Kita perlu mengetahui apakah yang berlaku dan apakah tindakan pihak sekolah dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sivakumar, masyarakat sudah terlalu lama berdepan dengan kes buli di sekolah dan tidak wajar terus menunggu sehingga lebih banyak nyawa anak muda terkorban sebelum tindakan tegas diambil.

“Berapa banyak lagi nyawa anak-anak muda perlu terkorban sebelum tindakan benar-benar tegas diambil? Kita tidak boleh hanya bersedih dan menzahirkan ucapan takziah selepas mereka meninggal dunia,” tegasnya.

Beliau turut menggesa pemimpin politik membawa isu buli dan keselamatan anak-anak ke Parlimen supaya ia mendapat perhatian lebih serius di peringkat nasional, selain memastikan suara mengenai isu tersebut tidak hanya muncul di media sosial.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu bertindak lebih proaktif dan tidak menunggu aduan daripada masyarakat sebelum mengambil tindakan, terutama jika terdapat unsur membabitkan agama, raja dan kaum (3R).

“Apabila kebencian berasaskan kaum mula menjadi bahasa pergaulan di sekolah, ia menandakan wujudnya krisis sosial yang amat parah dan merentasi sesebuah insiden tunggal,” ujarnya lagi.

Sivakumar berkata, sifat rasisme tidak wujud secara semula jadi dalam diri kanak-kanak, sebaliknya mereka belajar melalui apa yang dilihat, didengar dan ditiru daripada persekitaran orang dewasa.

Beliau berkata, penghinaan terhadap warna kulit atau keturunan, menjadikan isu perkauman sebagai bahan jenaka serta menormalisasikan kebencian dalam media sosial dan wacana politik akhirnya boleh mempengaruhi tingkah laku anak-anak.

Menurutnya, data Kementerian Perpaduan Negara menerusi e-Sepakat yang merekodkan 47 kes berkaitan isu 3R pada suku pertama 2024 menunjukkan budaya kebencian perlu ditangani secara serius.

Sehubungan itu, Sivakumar menggesa kerajaan, pemimpin politik, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat berganding bahu memastikan setiap aduan berkaitan buli diberi perhatian serta tindakan segera.

“Keziah sepatutnya membesar dan memikirkan masa depannya sebagai pemimpin masa depan.

“Jangan hanya bersedih dan mengucapkan takziah selepas anak-anak kita pergi. Kebenaran mesti ditegakkan dan persekitaran sekolah yang selamat serta inklusif wajib dipertahankan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here