ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol hadir prosiding kes dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di Mahkamah Balik Pulau, hari ini.

BALIK PULAU – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 10 September depan bagi prosiding sambung bicara kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Majistret Chia Huey Ting membenarkan permohonan pendakwaan itu selepas pengadu dalam kes berkenaan, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, yang juga isteri Fahmi, memberitahu mahkamah bahawa beliau sudah menarik balik laporan polis pertama dan tidak mahu perkara itu diteruskan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly berkata, pihak pendakwaan perlu merujuk perkara itu kepada AGC untuk mendapatkan arahan sama ada kes berkenaan perlu diteruskan susulan keterangan Nur Hidayah.

Huey Ting berkata, pihak pendakwaan berhak mendapatkan arahan lanjut, sambil menegaskan tugas pendakwaan adalah menegakkan keadilan dan keputusan pengadu menarik balik laporan polis tidak secara automatik menentukan sama ada prosiding jenayah perlu diteruskan.

“Pihak pendakwaan tidak terhad kepada kehendak mangsa sama ada untuk mendakwa atau tidak mendakwa seseorang. Tugasnya adalah untuk menegakkan keadilan.

“Pihak pendakwaan berhak merujuk perkara ini kepada AGC untuk arahan lanjut, memandangkan ini baru hari pertama perbicaraan. Fakta bahawa pengadu sudah menarik balik laporan polis tidak secara automatik bermakna pihak pendakwaan perlu menghentikan kes.

Shamsher Singh berhujah bahawa kes itu sudah tidak mempunyai asas selepas pengadu berulang kali menyatakan kejadian berkenaan adalah salah faham, menarik balik laporan polis pertama dan tidak mahu kes itu diteruskan.

“Pengadu memberi keterangan bahawa dia mengalami kecederaan ketika berlaku pertengkaran dengan suaminya. Pihak pendakwaan masih perlu mempertimbangkan sama ada fakta dan bukti yang ada memenuhi keperluan undang-undang berkaitan dengan perbuatan dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Huey Ting turut membezakan kes yang dirujuk peguam bela, Shamsher Singh Thind dengan kes berkenaan kerana pihak pendakwaan dalam kes itu baru memulakan perbicaraan dan sudah mengemukakan saksi pertama.

Pihak pendakwaan sebelum ini berhujah bahawa terdapat bukti lain termasuk laporan perubatan dan keterangan doktor yang masih belum dikemukakan.

Bagaimanapun, Shamsher berhujah bahawa kes itu sudah tidak mempunyai asas selepas pengadu berulang kali menyatakan kejadian berkenaan adalah salah faham, menarik balik laporan polis pertama dan tidak mahu kes itu diteruskan.

Beliau turut berhujah bahawa bukti yang ada tidak membuktikan elemen diperlukan berkaitan perbuatan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, Nur Hidayah memberi keterangan bahawa berlaku pertengkaran fizikal antara beliau dan Fahmi sehingga menyebabkan kecederaan pada matanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, suaminya tidak berniat mencederakannya dan menyifatkan kejadian itu sebagai salah faham.

Beliau turut mengesahkan membuat laporan polis kedua pada hari sama untuk menarik balik laporan awal, diikuti satu lagi laporan kerana tidak berpuas hati perkara itu masih diteruskan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 September jam 2.30 petang untuk sambung perbicaraan, dengan pihak pendakwaan akan meneruskan kes melalui saksi yang ada.

Sementara itu, di luar mahkamah, Fahmi turut memohon maaf dan memaklumkan beliau berlari ketika tiba di mahkamah kira-kira jam 9.40 pagi kerana menyangka terlewat untuk prosiding, bukan untuk mengelak daripada pengamal media.

Pada 27 Februari lalu, Fahmi didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nur Hidayah dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10 malam pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here