Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada program 'Invest In Perak Day 2026' di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 OGOS 2026.

IPOH – Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin meletakkan jawatan berkuat kuasa 17 Ogos lalu atas faktor masalah kesihatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan yang dihantar Ketua UMNO Cawangan Pekan Lenggong itu pada 10 Ogos lalu.

“Dia ada menulis surat kepada saya bertarikh 10 Ogos dan menyatakan dia mahu meletakkan jawatan yang berkuat kuasa 17 Ogos, jadi kita telah menerima peletakan jawatan beliau itu.

“Dia memberikan alasan (berkaitan masalah) kesihatan (yang dihadapi) dan memerlukan masa untuk mendapatkan rawatan (susulan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Invest In Perak Day 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini hari ini.

Diminta mengulas berkenaan dakwaan yang mengaitkan Mohamad Hamidi dengan isu penyalahgunaan dadah, Saarani berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian selagi tiada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa.

“Saya pun baca (dakwaan itu) dalam media sosial, tetapi selagi tidak ada bukti daripada pihak berkuasa sama ada Jabatan Kesihatan atau polis, saya tidak mahu membuat apa-apa andaian,” katanya.

Pada masa sama, Saarani memberitahu, kekosongan kerusi bagi jawatan yang ditinggalkan Mohamad Hamidi itu akan digantikan pada masa yang bersesuaian.

“Kita akan ada masa, akan menggantilah,” ujarnya.

Sebelum ini tular di media sosial hantaran yang dimuat naik pengguna akaun Facebook Zaharin Mohd Yasin yang mendakwa Setiausaha Politik Menteri Besar Perak meletakkan jawatan selepas dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dadah.

Mohamad Hamidi yang sebelum ini merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lenggong mula menggalas jawatan sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada 3 Januari 2023.

Pelantikan beliau ketika itu bagi menggantikan Datuk Sham Mat Sahat yang tidak menyambung tugas terhadap jawatan berkenaan sejak dilantik pada tahun 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here