KUALA LUMPUR – Kepincangan ekosistem perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ibarat ‘penjara emosi’ yang memberi tekanan kepada petugas barisan barisan hadapan, kata Dr Rafidah Abdullah.
Pengamal Perubatan itu menjelaskan, sistem kerja sedia ada dilihat mengabaikan kebajikan petugas seperti doktor dan jururawat, sekali gus mencetuskan krisis kesihatan mental yang kritikal di hospital kerajaan.
“Siapa yang kejam? Bukanlah doktor (sahaja), jururawat dan semua terlibat itu menjadi mangsa kepada sistem itu sendiri yang kejam.
“Saya rasa sistem untuk doktor dan pengamal perubatan kejam di mana-mana tempat pun. Lebih teruk daripada buruh kasar.
“Buruh kasar ada waktu rehat. Kalau kerja berat hari ini, esok boleh off.
“Tapi kita tertakluk kepada garis panduan yang esok tak boleh off,” katanya meluahkan kekecewaan menerusi program podcast MalaysiaGazette.

Beliau berkata, beban tugas bertali arus tanpa rehat, gangguan mesyuarat tidak berkesudahan serta karenah birokrasi dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang mengarut menjadi ‘racun’ utama menyerang mental petugas kesihatan.
“Keadaan menjadi lebih parah apabila mereka yang berdepan tekanan emosi melampau ini dilarang daripada bersuara atau membuat sebarang aduan secara terbuka.
“Kenapa senyap? Macam mana mereka nak bising, mereka disenyapkan. Mana boleh bercakap, kan ada peraturan kakitangan awam.
“Bila dah sampai isu teruk sangat, effect mental health, orang resign sana sini, orang tak cukup, kena cover double shift, triple shift… macam mana nak hidup? Memang seksa,” katanya lagi.
Jelasnya, pengalaman selama lebih 27 tahun bersama KKM dalam sektor awam mengakui mengalami situasi tertekan akibat budaya membuli, ancaman integriti, malah aduan polis yang dibuat terhadapnya semata-mata kerana bersuara membela nasib rakan sejawat.
“Tekanan kerja tanpa henti itu bukan sahaja merosakkan kualiti hidup para doktor dan jururawat, malah turut meretakkan keharmonian institusi kekeluargaan.
“Mereka ditekan, dibuli oleh bos. Ditekan oleh masyarakat. Bila balik rumah, ditekan pula oleh anak-anak dan suami. Effect mental health, effect keluarga, macam-macam.
“Sebenarnya mereka nak didengari sahaja. Kita dengar, kita transparent… tapi setakat ini kita tidak transparent. Itu bukan budaya kita,” tegurnya.
Dalam pada itu, Dr Rafidah turut mendesak pengurusan tertinggi KKM dan kerajaan agar menghentikan amalan menutup mata terhadap krisis kesihatan mental yang membabitkan benteng pertahanan utama negara itu.
“Kalau ini sahaja yang kerajaan mampu tolong, kita tak ada masalah.
“Tapi satu… jangan buli! Jangan mendera Kesihatan mental dan beritahu rakyat keadaan sebenar,” tegasnya lagi.
Jelasnya, keputusan berpencen awal dari KKM bukan bermakna mengalah tetapi akan terus bersuara untuk rakan-rakan.
“Saya rasa lega sangat, rasa bahu ni ringan.
“Tapi, saya akan terus bersuara demi mereka yang masih berada di KKM, mereka ini perlukan pembelaan.
“Saya mahu betulkan apa yang tidak, tidak mahu lagi melihat persekitaran kerja yang tidak baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















