KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) memaklumkan perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC yang dijadualkan diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi petang ini tidak dapat dilangsungkan.
Kata MFL, keputusan tersebut dibuat selepas menerima permohonan rasmi daripada Kuala Lumpur City FC berikutan hampir separuh pemain kelab itu disahkan mengalami penyakit influenza.
Jelasnya, Kuala Lumpur City FC dalam permohonan rasmi itu menyatakan 15 pemain dan dua pegawai pasukan telah mengalami simpton demam, batuk, selsema dan cirit-birit menerusi surat laporan perubatan kepada MFL.
“Menurut kelab itu, kesemua pemain dan pegawai akan dirujuk ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling untuk rawatan lanjut memandangkan penyakit itu mudah merebak dan memerlukan masa bagi tujuan pemulihan.
“Setelah menilai permohonan serta keadaan yang dihadapi Kuala Lumpur City FC, MFL memutuskan bahawa perlawanan itu tidak dapat dilangsungkan bagi memastikan aspek kebajikan dan kesihatan pemain serta pegawai pasukan diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
MFL bagaimanapun akan membawa perkara ini ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan mengenai status perlawanan itu dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















