KUALA LUMPUR – Pengurusan Negeri Sembilan FC amat kesal dengan situasi yang berlaku pada saat-saat akhir ini mengenai aksi pertama menentang KL City FC d i Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi petang ini tidak dapat dilangsungkan.
Tegas kelab itu, ia memandangkan segala persiapan telah disiapkan sepenuhnya dan amat mengecewakan ribuan penyokong setia skuad Jang.
Oleh itu, pihak kelab dengan tegas menuntut agar kemenangan secara walkover atau kemenangan percuma diberikan.
“Walaupun perlawanan tidak dijalankan, skuad utama NSFC akan tetap mengadakan sesi latihan di stadium pada petang ini. Sebagai tanda penghargaan, pihak kelab mengalu-alukan kehadiran para penyokong ke stadium untuk menyaksikan sesi latihan ini secara terbuka,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Tambah kelab itu, berhubung tiket perlawanan yang telah dibeli, sebarang urusan berkaitan tuntutan semula akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan berterima kasih atas sokongan padu anda,” katanya lagi.
Beberapa jam lalu, MFL mengumumkan Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC tidak dapat dilangsungkan selepas menerima permohonan rasmi daripada KL City FC berikutan hampir separuh pemain kelab itu disahkan mengalami penyakit influenza.
Kelab ibu kota itu dalam permohonan rasmi itu menyatakan 15 pemain dan dua pegawai pasukan telah mengalami simpton demam, batuk, selsema dan cirit-birit menerusi surat laporan perubatan kepada MFL. – MalaysiaGazette
















