TAPAH – Seorang lelaki ditemukan maut di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di belakang sebuah kedai perkakasan di Bidor Sentral di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, polis menerima maklumat sekitar 8.56 malam berhubung sebuah MPV jenis Toyota Alphard berwarna hitam dalam keadaan enjin dan penyaman udara masih hidup, tingkap tertutup rapat serta semua pintu berkunci.
“Hasil siasatan mendapati kereta dalam keadaan berkunci dan semua tingkap ditutup rapat. Bantuan bomba telah berjaya membuka pintu MPV itu.
“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang belakang MPV berkenaan.
“Selain itu, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa juga tidak menemui apa-apa kesan luka dan tiada senjata merbahaya dijumpai di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kereta telah menjumpai satu bekas aluminium yang terdapat di dalamnya arang yang telah dibakar.
“Mangsa telah dikeluarkan dari kereta dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk proses bedah siasat,“ ujarnya.
Abdul Malik memaklumkan, setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dalam kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
















