KOTA TINGGI – Mangsa ketiga yang dilaporkan lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini pagi kelmarin, ditemukan terapung pagi ini.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, mayat Muhammad Adib Hafiy Kamal yang berusia 16 tahun dijumpai pasukan penyelamat dan orang awam pukul 11.15 pagi.
“Mangsa ditemui oleh sebuah bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat, kira-kira 0.5 batu nautika ke arah tenggara perairan Tanjung Siang.
“Mangsa kemudiannya berjaya dinaikkan oleh bot Peter 50 sebelum dipindahkan ke bot Kevlar KCB 24 untuk dibawa ke pantai dan disahkan ahli keluarganya sebagai Muhammad Adib Hafiy Kamal.
“Jasad mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, operasi pencarian akan terus diperluaskan dan diselaraskan berdasarkan perkembangan semasa, keadaan cuaca dan arus laut serta maklumat yang diterima daripada pasukan di lapangan.

Jelasnya, keadaan cuaca di kawasan operasi dilaporkan angin dari arah selatan barat daya (SBD) pada kelajuan sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak antara 1.0 hingga 1.5 meter.
Maritim katanya, bersama-sama agensi terlibat akan terus menggembleng segala aset dan kekuatan yang bersesuaian bagi meneruskan usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa terakhir yang masih hilang.
Portal ini sebelum ini melaporkan, dua daripada empat remaja berusia 16 tahun meninggal dunia selepas lemas.
Mangsa ialah Alif Taqiuddin Kamal Hasrul yang ditemui pukul 1.15 petang kelmarin dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor pukul 1.53 petang semalam manakala Muhammad Adib ditemukan pagi ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga akan tertumpu kepada mengesan seorang lagi mangsa, Muhammad Haiman Fitri Supian.- MalaysiaGazette
















