GEORGE TOWN – Cadangan menghidupkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dikhuatiri hanya akan menambahkan budaya politiking yang akhirnya merugikan masyarakat, menjejaskan perpaduan kaum dan membahayakan kestabilan negara.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pengalaman pilihan raya PBT sebelum ini serta perkembangan politik semasa menunjukkan proses itu tidak semestinya menjamin peningkatan prestasi perkhidmatan kerajaan tempatan.
Beliau berkata, pilihan raya PBT pertama diadakan pada 1952 di Kuala Lumpur, manakala Pulau Pinang mula memperkenalkannya pada 1956 menerusi Majlis Perbandaran George Town, dengan pilihan raya terakhir diadakan pada 1963.
“Sebelum 1964, pegawai tertinggi PBT dan ahli majlis dipilih rakyat, dengan ahli majlis yang menang berperanan sebagai penasihat serta penggubal undang-undang kecil di PBT.
“Selepas Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957, sistem ini diubah suai mengikut acuan tempatan dan akhirnya sistem pilihan raya PBT dibubarkan bagi mempercepatkan proses pembangunan.
“Terlalu banyak politiking akan membuang masa untuk membicarakan perkara remeh-temeh. Kempen pilihan raya menjadi tumpuan dan penggunaan wang secara berleluasa, sedangkan prestasi perkhidmatan belum tentu bertambah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Yussof berkata, isu mengembalikan pilihan raya PBT kembali mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen Seputeh ketika itu, Teresa Kok, mencadangkan perkara berkenaan di Parlimen pada 1 November 2006, susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaan kedudukan sesetengah ahli majlis untuk kepentingan peribadi.
“Sejak 2006 sehingga kini, terdapat suara daripada pembangkang dan sebahagian ahli Parlimen kerajaan supaya pilihan raya PBT diadakan semula, khususnya di Kuala Lumpur.
“Hal ini mencetuskan pelbagai reaksi bercanggah daripada pemimpin politik, penganalisis, kerajaan dan juga rakyat,” katanya.
Mengulas pendirian parti politik, beliau berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO menolak usaha membawa kembali pilihan raya PBT kerana dikhuatiri mengancam keharmonian kaum dan kestabilan kerajaan campuran.
Mohd Yussof berkata, ada juga pemimpin kerajaan seperti Mohamad Sabu daripada Amanah yang menekankan keperluan kajian mendalam supaya tiada kaum tercicir atau berasa terpinggir, manakala pemimpin PKR pula berpandangan isu berkenaan bukan keutamaan kerajaan ketika ini.
“Beberapa Ahli Parlimen DAP seperti Tan Kok Wai melihat pilihan raya PBT sebagai langkah menyemarakkan demokrasi tempatan dan meningkatkan semak imbang pentadbiran bandar.
“Pas pula secara konsisten membantah dengan alasan ia berisiko meruncingkan polarisasi kaum dan menggugat keharmonian sosial,” katanya.
Mohd Yussof berkata, kebimbangan terhadap pilihan raya PBT turut dikongsi penganalisis politik dan pakar ekonomi serta pentadbiran yang melihatnya mempunyai implikasi buruk, termasuk risiko politik identiti dan perkauman bandar serta implikasi kewangan yang besar.
Bagi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), katanya, pilihan raya PBT membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan yang didakwa boleh diperoleh.
“Kita sudah mempunyai pilihan raya umum dan negeri yang banyak dengan ‘politicking’-nya, iaitu keterlibatan masyarakat atau penyokong parti politik dengan pelbagai kegiatan politik yang bertujuan mendapatkan kuasa, pengaruh dan sokongan sama ada dengan cara baik atau buruk.
“Masyarakat sudah jemu dan jelak dengan kegiatan politiking yang berlebihan sekarang ini. Tambahan pula mahu diadakan pilihan raya PBT yang pastinya menambah lagi ‘politicking’ yang sudah tenat itu.
“Transparency dalam PBT perlu ditingkatkan bukan melalui pilihan raya tetapi melalui tatakelola pentadbiran dan pengurusan yang cekap, telus dan bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette
















