Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok terhadap tiga pertuduhan berkaitan isu Tabung Haji (TH).

Semakan terhadap sistem mahkamah menunjukkan kes Jamil Khir, 65, didaftarkan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat izin Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengemukakan pendakwaan terhadap bekas ahli politik itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, bekas menteri itu bakal berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang menyentuh laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

“Pihak kami mendapat izin bagi mengemukakan pertuduhan terhadap bekas menteri berkenaan. SPRM mengesyorkan sebanyak tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pihak media selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM.

Seksyen 403 merujuk kepada kesalahan dengan curang menyalahgunakan atau mengalih, menggunakan atau mencairkan harta kepunyaan pihak lain untuk kegunaan diri sendiri secara tidak jujur.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sebelum ini Jamil Khir direman tujuh hari bagi membantu siasatan RCI TH selepas bekas menteri itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here