Ahmad melihat proses mengangkat pasukan bomba menangkat tong berisi tengkorak dan serpihan tulang manusia dipercayai mangsa bunuh yang dijumpai dalam tong berisi simen dalam kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal, Machap Bahru, Alor Gajah, Melaka pagi tadi dipercayai sudah berusia lebih tiga minggu. 

MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka memberi jaminan bekalan air terawat kepada pengguna kekal selamat dan mematuhi parameter kualiti air yang ditetapkan susulan penemuan disyaki rangka manusia dalam sebuah tong berisi simen di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, pihaknya mengambil maklum penemuan disyaki rangka dipercayai manusia dalam tong berisi simen di kawasan rizab empangan berkenaan yang dilaporkan kepada polis kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

Bagaimanapun penemuan itu tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai berlakunya pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air kepada pengguna.

Kenyataan yang dikeluarkan

“Sebarang kesimpulan berkaitan perkara itu, hendaklah dibuat berdasarkan keputusan pemantauan, pensampelan dan penilaian teknikal pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak membuat sebarang kesimpulan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan khususnya berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, pemantauan kualiti air yang dilaksanakan setakat ini mendapati tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan, manakala bekalan air terawat kepada pengguna berada dalam keadaan selamat.

“Kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai berikutan kawasan penemuan berkenaan merupakan sebahagian daripada kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air di Melaka.

“Untuk makluman, air yang disalurkan kepada pengguna adalah air terawat yang telah melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum dibekalkan kepada pengguna, dan kualitinya tertakluk kepada pemantauan serta pemeriksaan mengikut prosedur dan piawaian yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu katanya, aspek keselamatan sumber air sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan perkara tersebut tidak dipandang ringan.

“Pemantauan dan pemeriksaan kualiti air akan dipertingkatkan di kawasan berkenaan termasuk melaksanakan pensampelan serta ujian yang diperlukan bagi memastikan keadaan sumber air terus dipantau dengan rapi.

“Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap aspek berhubung penemuan itu diberi perhatian sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing,” tambahnya.

Jelas Salhah, perkembangan perkara tersebut akan terus dipantau dan sekiranya terdapat sebarang perkembangan yang mempunyai implikasi terhadap keselamatan atau bekalan air rakyat, ia akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui saluran rasmi.

“Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa keselamatan sumber air dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, dan pendekatan berjaga-jaga akan terus dilaksanakan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan bekalan air sentiasa terpelihara,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan penemuan rangka dipercayai manusia dalam tong biru di kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal, Machap Baru di sini.

Kejadian disedari tiga pemancing menemui sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis. — MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rangka manusia dipercayai dibunuh dalam tong disimen di Empangan Durian Tunggal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here