Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh melambai kepada penduduk pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Tanjung Bidara di Kampung Jeram, Masjid Tanah.

ALOR GAJAH – Melaka akan meneruskan pendekatan nonprotocol government dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi memastikan rakyat dapat bertemu terus dengan wakil rakyat, malah ketua menteri tanpa dibatasi kerenah birokrasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pendekatan menerusi program itu pada masa akan datang akan dikekalkan kerana kerajaan negeri mahu memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat dapat didengar serta diberi perhatian secara terus.

“Pastinya program ini (WRUR) akan diteruskan dan kaedah kita tidak akan berubah kerana kita lebih selesa dalam keadaan nonprotocol government.

“Rakyat boleh datang dan berjumpa siapa sahaja, kaunter mana sahaja. Nak jumpa wakil rakyat ini ataupun Exco, dia tak puas hati, dia nak jumpa ketua menteri pun boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) yang menjadi penutup program WRUR peringkat negeri Melaka di DUN Tanjung Bidara hari ini.

Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, pendekatan berkenaan selari dengan dasar Melaka Sayang Rakyat yang mengutamakan kepedulian kerajaan terhadap keperluan rakyat selain memudahkan urusan mereka mendapatkan perhatian kerajaan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hadir memberi sumbangan insentif veteran ATM pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Tanjung Bidara.

“Sebab dasar kita ialah Melaka Sayang Rakyat dan ini mengikut aturan dan peraturan yang dipermudahkan bagi menyantuni rakyat. Jadi tak banyak ada birokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, program WRUR di Tanjung Bidara menerima kehadiran 462 pengunjung yang mengemukakan lebih 124 aduan, dengan isu kebajikan antara perkara yang paling banyak dibangkitkan.

Aduan lain yang diterima termasuk permohonan pemasangan lampu jalan, kerja menurap jalan serta baik pulih dan penambahbaikan rumah.

“Yang kita akan terus berikan perhatian terhadap permintaan-permintaan ini dan kita akan susun mengikut aturan-aturan dan peruntukan yang akan kita sempurnakan apabila tiba masanya.

“Jadi program Melaka Sayang Rakyat ini telah terbukti bahawa semua keresahan, aduan, didengar dan diperhalusi untuk kita menyantuni semula rakyat dan kita mengambil tindakan. Ya,Insya-Allah kita akan selesaikan dalam masa yang terdekat,” tambahnya.

Ab Rauf berkata, setiap aduan yang diterima akan dinilai dan disusun untuk tindakan kerajaan negeri selain menjadi panduan dalam merancang pembangunan Melaka pada masa akan datang.

“Kita tahu kat mana jalan rosak, kat mana yang memerlukan perhatian. Dan sekiranya kita dapat menyelesaikan aduan ini, kita akan mencapai taraf approval indeks rakyat ke peringkat lebih daripada 75 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here